Anda di sini

Suspek samun kedai makan di Kuching ditangkap kurang 24 jam

Advertisement
Ahsmon ketika menyampaikan amanat semasa Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini.
Ahsmon ketika menyampaikan amanat semasa Perhimpunan Bulanan IPD Kuching, di sini hari ini.

KUCHING: Seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian samun bersenjata di sebuah kedai makan di Jalan Stutong pada Selasa, berjaya diberkas malam tadi.

Tangkapan itu dibuat oleh anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, suspek yang merupakan lelaki tempatan itu ditahan polis sekitar jam 9.30 malam tadi di Kuching. 

"Tangkapan itu dibuat dalam tempoh kurang 24 jam oleh pasukan JSJ IPD Kuching dan IPK Sarawak.

"Siasatan awal mendapati suspek mempunyai tujuh rekod jenayah yang melibatkan dadah dan curi," katanya ketika ditemui media selepas perhimpunan bulanan yang diadakan di IPD Kuching, di sini hari ini.

Tambahnya, suspek akan direman hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan dan Seksyen 397 Kanun yang sama kerana samun bersenjata atau dengan cubaan menyebabkan kematian atau cedera parah.

Ahsmon turut mengucapkan terima kasih atas sokongan dan kepercayaan orang ramai seperti yang dilihat dalam pelbagai komen di Facebook berhubung kes tersebut.

"Dengan tertangkapnya suspek ini, kami percaya kes ini telah selesai dan kini kami akan terus menjejaki saki baki suspek," kata Ahsmon. 

Dalam pada itu, beliau berkata polis juga akan menyiasat jika suspek terbabit dalam kes jenayah lain.  

Mengenai kes penggunaan gambar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof secara haram dalam poster skim pelaburan yang baru-baru ini dikongsi di Facebook, Ahsmon memberitahu ia masih dalam siasatan.

"Polis masih lagi menyiasat kes penggunaan gambar terbabit.

"Kami telah memulakan siasatan kerana ini adalah satu jenayah untuk menggunakan gambar orang lain untuk agenda peribadi mereka dan kami akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka," kata Ahsmon. 

Beliau pada yang sama turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menggunakan gambar sesiapa tanpa kebenaran kerana ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

  • oleh
  • Advertisement