Anda di sini

Teruskan amalan saling mengunjungi, erat perpaduan: Ewon

Advertisement
 Ewon (duduk tengah) merakamkan kenangan semasa program santai bersama penduduk kampung.
MERIAH: Ewon (duduk tengah) merakamkan kenangan semasa program santai bersama penduduk kampung.

PENAMPANG: Amalan saling mengunjungi dan rumah terbuka semasa musim perayaan perlu diteruskan demi memupuk perpaduan kaum.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, budaya berkenaan antara wadah terbaik dalam merapatkan hubungan baik di antara pemimpin dan masyarakat.

Ahli Parlimen Penampang ini berkata, amalan seumpama itu perlu diteruskan demi memupuk perpaduan kaum, sekali gus membantu mewujudkan suasana aman damai dan harmoni.

“Bagi para pemimpin, ia secara tidak langsung memberi peluang kepada kita menemui rakyat akar umbi dan mendengar masalah serta keperluan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program santai bersama penduduk kampung sempena Tahun Baharu Cina di Kampung Mahansung Sugud dan Kolopis di sini semalam.

Ewon turut meluangkan masa menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina Menteri Pembangunan Perindustrian Phoong Jin Zhe di Dewan Sekolah Menengah (SM) Tinggi Kota Kinabalu.

Menurutnya, antara keunikan sambutan Tahun Baharu Cina bagi masyarakat Sino Kadazan di Penampang ialah hidangan makanan tradisi etnik Kadazan Dusun.

Salah seorang penduduk Kampung Sugud Jeffrin Likius berkata, setiap tahun keluarganya meraikan sambutan Tahun Baharu Cina, Krismas dan Kaamatan.

"Sambutan tahun ini amat istimewa kerana Datuk Ewon seorang pemimpin yang kami kagumi dan hormati berkunjung ke rumah kami,” katanya.

Sambutan itu dimeriahkan dengan persembahan tarian singa dari Persatuan Tarian Singa Fatt Chun Kota Kinabalu yang menampilkan keunikan kerana kebanyakan ahlinya adalah daripada etnik Kadazan, Dusun dan Sino Kadazan.
 

  • oleh
  • Advertisement