Anda di sini

SESB beri rebat 2.5 peratus kepada 672,624  pelanggan  

Advertisement
MOHD YAAKOB
MOHD YAAKOB

KOTA KINABALU: Seramai 672,624 pelanggan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) akan menerima faedah tahunan atau rebat berjumlah 2.5 peratus daripada jumlah deposit elektrik yang dibayar.

Ketua Pegawai Eksekutif SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata, pemberian faedah berkenaan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Bekalan Elektrik 1990 dan akan dikreditkan ke dalam bil elektrik setiap pelanggan bermula Januari ini.

Katanya, pulangan rebat berjumlah RM9.1 juta itu akan dikreditkan terus ke dalam akaun bil elektrik pengguna pada Januari dan Februari ini.

Menurutnya, pemulangan semula rebat berkenaan melibatkan sejumlah 672,624 pengguna yang membuat pembayaran deposit secara tunai di seluruh negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.

"Wang cagaran elektrik ini dikenakan sebagai sekuriti kepada kerosakan atau untuk menjelaskan hutang tertunggak apabila pengguna menamatkan kontrak bekalan.

"Ia selaras dengan peraturan 5(5) Peraturan-Peraturan Bekalan Pemegang Lesen 1990 iaitu dikira bersamaan dua bulan penggunaan bil elektrik berdasarkan purata bagi enam bulan terakhir dan akan disemak setiap enam bulan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau turut menjelaskan penambahan wang cagaran hanya akan dikenakan sekiranya terdapat peningkatan penggunaan elektrik secara purata bagi enam bulan berbanding wang cagaran sedia ada.

Bagaimanapun katanya, jika purata penggunaan kurang daripada wang cagaran, maka ia boleh dipulangkan kepada pengguna atas permintaan pengguna melalui rebat kepada bil elektrik pengguna.

Mohd Yaakob berkata, pengguna boleh menghubungi talian SESB Careline 15454 atau 088-515000 sekiranya memerlukan penjelasan.

Selain itu katanya, para pengguna juga boleh memuat turun aplikasi mySESB melalui telefon pintar untuk mendapatkan info terkini mengenai perkhidmatan SESB.
 

  • oleh
  • Advertisement