Anda di sini

Serangan seksual: Xavi mohon maaf ke atas komen mengenai Alves

Advertisement
XAVI
XAVI

BARCELONA: Jurulatih Barcelona Xavi Hernandez kelmarin memohon maaf atas komen yang dibuatnya mengenai Dani Alves, yang ditahan awal minggu ini berikutan dakwaan serangan seksual.

Pemain pertahanan berusia 39 tahun itu, dipecat oleh kelab Mexiconya, Pumas selepas penahanannya dan kini berada dalam tahanan di Barcelona tanpa jaminan.

Tuduhan serangan seksual di Sepanyol boleh bermakna meraba secara seksual tanpa persetujuan dan sehingga rogol.

Walaupun polis enggan memberikan butiran mengenai kes itu, sumber yang rapat dengan siasatan memberitahu AFP bahawa Alves telah dituduh oleh seorang wanita atas kesalahan merogol.

Xavi pada hari Sabtu memberi ulasan bahawa dia berada dalam keadaan terkejut selepas mengetahui tentang dakwaan dan penahanan itu, dan juga “berasa kasihan” untuk Alves, namun tidak memikirkan mangsa.

“Semalam, apa yang saya ingin katakan tentang Dani Alves telah disalah tafsir, mungkin saya tidak cukup jelas dengan kata-kata saya dan penting untuk saya menjelaskan diri saya sendiri,” kata Xavi selepas Barcelona menang 1-0 ke atas Getafe dalam La Liga hujung minggu lalu.

“Ia satu subjek yang sangat menyeramkan dan semalam saya terlupa untuk bercakap mengenai mangsa. Ia bukan komen yang sesuai.

“Semua tindakan sebegini mesti dikecam, sama ada Dani atau sesiapa yang melakukannya.

“Saya memohon maaf kepada mangsa, kepada mangsa keganasan jantina dan mangsa keadaan seperti ini.”

Alves, yang bermain untuk Barcelona selama lapan musim antara 2008 dan 2016, menyertai semula pasukan Catalan itu untuk tempoh singkat musim lalu di bawah bekas rakan sepasukannya, Xavi.

Polis Catalonia berkata, mereka menerima aduan pada 2 Januari daripada seorang wanita yang menuduh Alves melakukan serangan seksual.

Dakwaan serangan seksual itu berlaku di sebuah kelab malam popular Barcelona pada malam 30-31 Disember, menurut laporan media Sepanyol.

Alves merupakan pemain penting dalam era keemasan Barcelona, memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara bersama kelab itu, dan enam gelaran La Liga.

Pemain Brazil itu juga bermain untuk pasukan lain, antaranya Sevilla, Paris Saint-Germain dan Juventus. — AFP 

Advertisement