Anda di sini

SABA akan menganjurkan empat kejohanan besar tahun ini

Advertisement
RAHMAN 
RAHMAN 

KUCHING: Persatuan Tinju Negeri Sarawak (SABA) akan menganjurkan empat kejohanan besar tahun ini dengan satu daripadanya merupakan acara antarabangsa.

Presiden SABA Dato Rahman Lariwoo dalam pada itu menyifatkan kalendar tahunan persatuan tersebut agak sibuk tahun ini yang bakal dimulakan dengan Kejohanan Piala Belia 2023 dijadual berlangsung pada 21 hingga 26 Mac 2023.

Menurutnya, cadangan awal penganjuran kejohanan berprestij itu akan berlangsung di Stadium MBKS, Taman Rekreasi Pending.

“Kebiasaannya kejohanan ini dilangsungkan di negeri-negeri di Semenanjung namun saya telah memohon untuk menganjurkannya di Kuching pada tahun ini.

“Jadi ia kali pertama dianjurkan di sini. Kejohanan ini pastinya akan menjadi platform untuk kita mencungkil bakat-bakat baharu dalam kalangan remaja di sini.

“Ini juga akan menjadi platform untuk persiapan kita menghadapi SUKMA (Sukan Malaysia) 2024 kelak,” katanya ketika ditemui semalam.

Rahman menambah SABA juga akan menganjurkan Kejohanan Tinju Bintulu Terbuka 2023 yang akan diadakan di Dewan Tertutup Bintulu pada 22 hingga 28 Mac 2023.

Ia katanya, disusuli Kejohanan Tinju Sarawak Terbuka 2023 yang akan diadakan di Dewan Tertutup Sri Aman pada 24 hingga 30 Ogos 2023.

Beliau berkata, kemuncak kepada aktiviti SABA tahun ini adalah penganjuran kejohanan antarabangsa, Piala Premier Terbuka Sarawak Antarabangsa yang akan diadakan pada 11 hingga 17 September 2023.

“Ini merupakan acara antarabangsa kali pertama SABA anjurkan dan merupakan kemuncak kepada aktiviti tahunan persatuan bagi 2023.

“Untuk kejohanan ini, kita akan menjemput beberapa petinju dari negara luar untuk mengambil bahagian.

“Kita masih meneliti beberapa venue bersesuaian namun cadangan awal adalah di Stadium Perpaduan Petra Jaya,” tambahnya.

Advertisement