Anda di sini

Polis buru suspek kes samun berkumpulan di kedai makan di Kuching

Advertisement
 Tangkap layar memaparkan perompak menghayun kerusi ke arah pekerja kedai makan semasa kejadian.
GANAS: Tangkap layar memaparkan perompak menghayun kerusi ke arah pekerja kedai makan semasa kejadian.

KUCHING: Polis sedang mengesan dua suspek yang disyaki terlibat dalam satu kes samun berkumpulan di sebuah kedai makan di Jalan Stutong di sini, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kejadian berlaku sekitar jam 4.55 pagi itu telah mengakibatkan mangsa kerugian RM2,000.

“Pasukan khas dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak telah digerakkan bagi mengesan suspek.

“Suspek juga menggunakan sebilah parang semasa kejadian berlaku,” ujarnya menerusi satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan disebat jika sabit kesalahan. 

Dalam pada itu, satu video tular telah dikongsi di media sosial menunjukkan rompakan membabitkan dua lelaki bertopeng yang dilihat memasuki kedai makan, dengan seorang daripada mereka menggunakan senjata kelihatan seperti kayu besbol.

Dalam premis itu terdapat seorang pekerja kedai makan dan dua pelanggan yang duduk di meja berasingan.

Dalam video itu, suspek dapat dilihat bertindak agresif dan mula menolak serta menghayun kerusi ke arah pekerja yang menyerahkan barangnya.

Walaupun suspek melihat pekerja itu mengangkat tangan sebagai tanda ‘menyerah diri’, suspek masih menghayun kerusi plastik ke arah pekerja tersebut.

Selepas mendapatkan barangan daripada pekerja berkenaan, suspek terus menyamun salah seorang pelanggan.

Turut kelihatan dalam rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ialah sebuah kereta yang disyaki digunakan untuk melarikan diri.

Advertisement