Anda di sini

PERKIM Limbang memerlukan bangunan sendiri: Dr Abdul Rahman

Advertisement
 

LIMBANG: Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Limbang memerlukan sebuah rumah atau bangunan sendiri bagi membolehkan serta memudahkan badan dakwah tersohor itu menjalankan kegiatan keagamaan, pendidikan dan dakwah.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD) Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, pada masa ini PERKIM Limbang terpaksa menumpang dalam kawasan Masjid Baitul Iman Daerah Limbang yang dijadikan pejabat serta tempat pelaksanaan program keagamaan.

Jelas beliau lagi, kerajaan sedang berusaha membantu mana-mana persatuan termasuk PERKIM Limbang untuk mendapatkan bangunan sendiri bagi menjalankan program masing-masing dalam kawasan yang lebih selesa.

“Sasaran kita mudah-mudahan menjelang 2025, kita ada satu bangunan dan sama-sama kita berusaha walaupun Alhamdulillah sekarang ini ada juga pejabat PERKIM di Masjid Baitul Iman di Limbang.

“Tapi saya boleh memberi satu tawaran kalau hendak diterima iaitu ada satu kedai di tingkat atas iaitu tingkat tiga masa ini tidak berpenghuni, kalau mahu tawaran tersebut iaitu di bekas klinik Dr Abdul Rahman,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-33 PERKIM Cawangan Limbang di Dewan Bunga Raya baru-baru ini.

Turut hadir Penyelaras PERKIM Dayang Noraini Abang Zawawi, Pengerusi PERKIM Cawangan Limbang Datin Dayang Maimunah Awang Mohamad Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Hala Tuju merangkap Ahli Jawatankuasa PERKIM Sarawak Dr Saadiah Abdul Samad. 

Pada masa yang sama katanya, PERKIM Limbang perlu berusaha bersama ahli-ahli jawatankuasa untuk membincangkan hala tuju persatuan termasuk bagi mendapatkan rumah dan bangunan sendiri.

“Tapi untuk membuat bangunan ini, yang paling penting ialah tanah.

"Kalau ada tanah, duit untuk membuat bangunan kita boleh cari, antaranya boleh menggunakan Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP).

“Jadi, cabaran bagi PERKIM adalah untuk mencari rumah sendiri kerana tidak seronok menumpang selama-lamanya tapi yang di kawasan Bangkita di tingkat atas, boleh kalau PERKIM mahu sebab kosong,” katanya.

Beliau turut memuji PERKIM Limbang bukan saja berperanan memperluaskan dakwah Islamiah tetapi proaktif dalam penganjuran pelbagai program kebajikan dan kemasyarakatan.

Katanya, PERKIM Limbang berjaya melunaskan tugas, amanah dan tanggungjawab yang disandarkan sebagai badan dakwah tersohor di Malaysia.

PERKIM Cawangan Limbang katanya, telah berusaha menjalankan pelbagai aktiviti termasuk menubuhkan pelbagai jawatankuasa untuk menjalankan peranan kepada masyarakat di Limbang.

Beliau berkata, kerajaan menggalakkan penglibatan dan sumbangan PERKIM dalam Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Daerah Limbang yang dipengerusikan Pegawai Daerah Limbang.

Advertisement