Anda di sini

Peningkatan kes jenayah narkotik di Limbang membimbangkan: Hasbi

Advertisement
Mohamad (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Hasbi pada majlis itu. 
Mohamad (tiga kiri) menyerahkan cenderamata kepada Hasbi pada majlis itu. 

LIMBANG: Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah melahirkan kebimbangan dengan peningkatan kes jenayah narkotik di daerah ini yang dilaporkan berlaku sepanjang tahun lalu.

Berdasarkan statistik daripada Ketua Polis Daerah Limbang pada perhimpunan bulanan baru-baru ini katanya, tahun lalu merekodkan 303 kes berbanding 282 kes pada 2021.

“Sebagaimana yang dilaporkan oleh Ketua Polis Daerah dalam surat khabar sebelum ini iaitu kadar jenayah di Limbang menurun tetapi dari segi jenis-jenis jenayah, jenayah berkaitan dengan dadah ini meningkat di Limbang.

“Ini bagi saya sesuatu yang membimbangkan kerana di saat kita hendak memajukan dan memartabatkan negara, tapi ada juga usaha ataupun kegiatan yang merosakkan anak-anak kita ini,” katanya ketika ditemui media pada Anugerah Pelajar Cemerlang dan Dermasiswa Persatuan Melayu Limbang (PML) di Dewan Bunga Raya pada Rabu.

Turut hadir pada program itu ialah pengerusi PML Mohamad Abu Bakar.

Ahli Parlimen Limbang itu berkata lagi sudah tiba masanya semua pihak bekerjasama dalam usaha memerangi penyalahgunaan dadah secara holistik dan serius.

“Semua pihak perlu berganding bahu bersama-sama membanteras gejala dadah yang merupakan musuh nombor satu negara kerana boleh merosakkan masyarakat khususnya golongan muda.

“Penyalahgunaan dadah boleh membantutkan usaha kerajaan untuk memajukan negeri dan negara ini sekiranya generasi muda yang bakal menjadi pewaris kepimpinan negara rosak akhlaknya kerana terlibat dengan najis dadah,” katanya lagi.

PML sebagai persatuan yang aktif di daerah Limbang katanya perlu menjalin bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta agensi penguatkuasaan lain untuk memerangi penyalahgunaan dadah di daerah tersebut.

“Saya menyarankan kepada PML supaya mengambil berat tentang hal ini dan mungkin bergabung dengan persatuan-persatuan lain seperti NGO, bersama dengan agensi-agensi kerajaan iaitu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), polis dan sebagainya untuk mengadakan pelbagai program bagi menarik anak-anak muda kita ini supaya jangan terlibat dengan usaha jahat ini yang mahu merosakkan anak-anak kita,” tegasnya lagi.

Kata beliau lagi, masyarakat dan ibu bapa perlu menyalur sebarang bentuk maklumat kegiatan jenayah terutama dadah yang berlaku di kawasan masing-masing.

“Kita kena bekerjasama dan semua pihak bertanggungjawab contohnya untuk melaporkan dimana-mana di kampung-kampung, di perumahan-perumahan, siapa-siapa yang bertanggungjawab, yang disyaki ini supaya dilapor kegiatan mereka ini yang merosak anak-anak kita,” katanya lagi.

Advertisement