Anda di sini

Penduduk kongsi kebimbangan situasi banjir di Kota Marudu, Pitas

Advertisement
 Penduduk yang terjejas banjir berpindah ke kawasan surau di atas bukit di Kampung Maliau Pusat. Gambar ihsan penduduk
BANJIR: Penduduk yang terjejas banjir berpindah ke kawasan surau di atas bukit di Kampung Maliau Pusat. Gambar ihsan penduduk

KOTA KINABALU: Hujan lebat berterusan dan banjir yang melanda banyak kawasan di pantai barat utara negeri ini membimbangkan ramai penduduk terutama mereka yang terjejas banjir.

Selain itu, liputan telekomunikasi yang kurang memuaskan turut menjejaskan sistem perhubungan penduduk lebih-lebih lagi mereka yang terdesak memerlukan bantuan.

Perkongsian orang awam menerusi Facebook terutama penduduk terjejas banjir dari Kota Marudu dan Pitas mendapat perhatian ramai berikutan situasi banjir yang semakin membimbangkan sejak semalam.

Sebuah sekolah menengah di Pitas turut membenarkan pelajar dan guru yang terjejas banjir tidak perlu hadir ke sekolah hari ini.

Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pitas II Johori Botohong mengumumkan perkara itu menerusi akaun rasmi Facebook sekolah berkenaan malam tadi berikutan beberapa laluan tidak dapat dilalui akibat banjir.

Menurutnya, terdapat laluan yang tidak boleh dilalui kenderaan terutama yang menghubungkan laluan di antara Pitas, Kota Marudu dan Kudat menuju ke pusat bandar.

"Esok (hari ini) sekolah dibuka seperti biasa. Bagaimanapun semua guru dan murid yang terhalang oleh banjir perjalanannya ke sekolah atau rumahnya terkesan oleh banjir adalah dibenarkan tidak hadir ke sekolah atas sebab terhalang laluan perjalanannya ke sekolah oleh banjir (bencana alam).

"Setakat ini belum ada cadangan untuk menutup sekolah memandangkan kawasan sekolah kita belum ditenggelami banjir.

" Sila utamakan keselamatan dalam apa juga tindakan kita semasa menghadapi banjir ini," katanya.

 Paras air Sungai Bengkoka di Kampung Pinapak semakin tinggi dan tidak dapat dilalui. Gambar ihsan penduduk
TERJEJAS: Paras air Sungai Bengkoka di Kampung Pinapak semakin tinggi dan tidak dapat dilalui. Gambar ihsan penduduk

Sementara itu, seorang pengguna Facebook Manuel Manual dari Kampung Dandun Bengkoka berkata, kawasan yang didiaminya kini dalam keadaan bahaya memandangkan paras Sungai Bengkoka semakin melimpah tanpa ada siren amaran banjir.

"Kami perlukan bantuan, kawasan kami dalam bahaya. Liputan telefon juga tidak baik di sini," katanya menerusi hantaran di Facebook sekitar jam 8 pagi tadi.

Sementara itu, seorang lagi penduduk dari Kampung Pinapak Pitas Siti Sazierra turut berkongsi beberapa gambar situasi banjir di kampung berkenaan manakala Justinah Joni berkongsi gambar keadaan banjir di Kampung Kibulu Pitas.

Kebanyakan penduduk di Kampung Maliau Pitas sehingga kini sukar dihubungi berikutan liputan telefon yang teruk dan ada beberapa rumah mula terjejas banjir terutama yang berdekatan Sungai Bengkoka di Kampung Maliau Pusat.

Sumber dari Kampung Maliau Pusat menjelaskan, keadaan banjir di kampung berkenaan menjadi semakin membimbangkan selepas jam 6 pagi hari ini dan penghuni rumah yang mula dinaiki air sudah dipindahkan ke kawasan surau di atas bukit.

Setakat jam 8 pagi, laluan jambatan yang menghubungkan Kampung Maliau Pitas tidak dapat dilalui sepenuhnya oleh kenderaan.

Selain itu, tindakan menyeberangi sungai menggunakan jambatan gantung tidak digalakkan berikutan paras air Sungai Bengkoka yang tinggi di Kampung Pinapak.

Menerusi laman Facebook Info Banjir Kota Marudu, orang ramai mula berkongsi  keadaan semasa banjir di kawasan masing-masing termasuk Kampung Marasimsim sempadan Kota Marudu-Pitas.

Sementara itu, seorang pengguna Facebook turut berkongsi gambar kelibat seekor buaya di kawasan rumahnya di Kampung Gurontung Kota Marudu.
 

  • oleh
  • Advertisement