Anda di sini

MIDA, BIA meterai MoU untuk teroka potensi pelaburan

Advertisement
Anwar (dua, kiri) dan Sultan Hassanal Bolkiah (dua, kanan) menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) di Istana Nurul Iman hari ini.  MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Urusan BIA Sofian Mohammad Jani. - Gambar Bernama
Anwar (dua, kiri) dan Sultan Hassanal Bolkiah (dua, kanan) menyaksikan pemeteraian MoU antara MIDA dan BIA di Istana Nurul Iman hari ini. - Gambar Bernama

BANDAR SERI BEGAWAN: Lembaga Pelaburan Pembangunan Malaysia (MIDA) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA) telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) yang memberi peluang bagi kedua-dua negara meneroka potensi pelaburan yang memberi kepentingan bersama.

MoU itu telah ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Arham Abdul Rahman dan Pemangku Pengarah Urusan BIA Sofian Mohammad Jani di Istana Nurul Iman, hari ini.

Majlis pemeteraian itu disaksikan oleh Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dokumen tersebut antara lainnya memberi pemahaman awal bagi kedua-dua pihak untuk mengadakan rundingan ke arah pelaksanaan dan penyediaan perjanjian lanjut mengenai pelaburan dua hala yang boleh dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu antara Brunei dan Malaysia.

MoU itu merangkumi kerjasama dan pelaburan dua hala dalam sektor minyak dan gas hiliran, ekonomi digital, pembuatan pintar, pertanian pintar, kecerdasan buatan, pelancongan dan industri makanan halal.

Terdahulu, Sultan Hassanal Bolkiah telah berkenan menerima menghadap Anwar yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei.

Ini disusuli dengan pertemuan empat mata perdana menteri dengan Sultan Hassanal Bolkiah.

Lawatan tersebut merupakan kunjungan kedua ke luar negara bagi Anwar selepas dilantik sebagai perdana menteri ke-10 pada November lepas. - Bernama 

Advertisement