Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah terlibat penyalahgunaan dadah

Advertisement
 

KUCHING: Seorang lelaki berusia 29 tahun dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau dua bulan penjara di Mahkamah Majistret hari ini selepas mengaku bersalah terlibat penyalahgunaan dadah.

Majistret Siti Farah Ibrahim memerintahkan Muhd Aminur Syafiq Julaihi dari Kampung Bintangor di sini, menjalani dua tahun pengawasan polis. 

Tertuduh mengaku bersalah apabila didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15(1) akta yang sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai selama tempoh tidak kurang daripada dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah menggunakan dadah berbahaya jenis Methamphetamine dan Amphetamine yang terkandung dalam Jadual Pertama ADB 1952, dengan cara memasukkan dadah itu ke dalam tubuh sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching pada 4 Julai 2012, sekitar jam 3.45 petang.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Advertisement