Anda di sini

KKD jangka umum pelaksanaan 5G yang ditambah baik hujung Mac ini

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) dijangka mengumumkan pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Bhd (DNB) dengan beberapa penambahbaikan menjelang atau sebelum hujung Mac ini. 

Menteri berkenaan Fahmi Fadzil berkata DNB sedang meneliti dan menilai pilihan yang ada bagi memastikan pelaksanaan itu bukan hanya mencapai sasaran 80 peratus malah diperluas kepada kawasan berpenduduk di seluruh negara. 

"Kita nak pastikan tiada kesan negatif kepada kewangan negara dan kita harap menjelang 2025, sekurang-kurangnya 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara bertajuk ‘Memperkasa Digital' terbitan Bernama TV yang bersiaran secara langsung malam tadi.

Beliau berkata pelaksanaan itu adalah bagi membantu pengurusan perusahaan syarikat dan kilang berkomunikasi dengan pantas sekali gus meningkatkan produktiviti mereka selain perkhidmatan kepada rakyat secara umumnya. 

"Sebelum ini, saya pernah lihat bagaimana 5G boleh dilaksana di peringkat kerajaan tempatan untuk bantu uruskan isu trafik, data sampai ke pusat yang menguruskan lampu isyarat dengan cepat secara masa nyata dan kita tahu keadaan satu bandar itu.

“Rangkaian 5G memberi manfaat terutama kepada perusahaan kilang-kilang besar serta pelantar minyak untuk berkomunikasi dengan pantas dan menghantar data yang banyak, machine learning dan melakukan Internet Benda (IoT) serta Revolusi Industri 4.0 (IR4.0),” katanya.

Mengulas isu keselamatan data peribadi dan jenayah penipuan dalam talian, Fahmi berkata KKD berhasrat menjadikan Jabatan Pelindungan Data Peribadi sebagai jabatan berkanun untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih baik.

Beliau berkata agensi di bawah KKD itu akan menjadi antara jabatan penting dan perlu diperkukuh supaya dapat bertindak dengan lebih efektif dalam isu kebocoran data peribadi rakyat.

“Misalnya, jika saya mengeluarkan cek (tunai), pihak bank akan hubungi untuk pengesahan… itu prosesnya, begitu juga dengan keselamatan data, kerajaan (agensi berkaitan data peribadi) wajib diberitahu secara automatik jika berlaku kebocoran data... ini perkara yang sedang diteliti,” katanya.

Beliau berkata undang-undang sedia ada perlu ditambah baik manakala kerangka atau dasar berkaitan perlu diteliti kerana terdapat sekurang-kurangnya empat kementerian bertanggungjawab dalam isu itu.

Katanya KKD juga berhasrat menaik taraf agensi CyberSecurity Malaysia (CSM) sebagai Suruhanjaya Keselamatan Siber Malaysia kerana CSM memiliki kepakaran dalam bidang itu malah mutu perkhidmatannya antara yang terbaik di rantau Asia Pasifik seperti digital forensik.

"Kita perlu berusaha ke arah membentuk sebuah suruhanjaya supaya ia diberikan kuasa untuk melakukan siasatan dan mempunyai undang-undang yang mencukupi (untuk melaksanakan penguatkuasaan)," katanya. - Bernama 

Advertisement