Anda di sini

Kerajaan perlu solusi ringankan beban rakyat

Advertisement
 Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (tiga kiri), Datin Seri Panglima Hajah Shuryani Datuk Haji Shuaib (dua kiri) bersama Naib Presiden WARISAN Datuk Junz Wong (kanan) diraikan dengan tarian singa-singa.
MERIAH: Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (tiga kiri), Datin Seri Panglima Hajah Shuryani Datuk Haji Shuaib (dua kiri) bersama Naib Presiden WARISAN Datuk Junz Wong (kanan) diraikan dengan tarian singa-singa.

TAWAU: Kerajaan diharapkan dapat memberi tumpuan dalam membela dan mengatasi bebanan yang ditanggung oleh rakyat di semua peringkat.

Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kerajaan perlu mempunyai solusi bagi meringankan kesusahan yang dihadapi oleh rakyat ketika ini.

Katanya, semua pemimpin diminta untuk mengurangkan pergolakan politik supaya kerja-kerja mentadbir negara dapat dilakukan dengan baik.

“Kita tahu ramai rakyat di negara ini masih menghadapi masalah termasuklah tidak mempunyai pekerjaan dan harga barang tidak terkawal yang perlu diatasi sebaiknya.

“Justeru, penyelesaian masalah adalah keutamaan yang harus diberikan oleh pemerintah negara bagi meredakan bebanan dan tekanan yang ditanggung rakyat,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata demikian ketika ditemui pada Pesta Tahun Baharu Cina ADUN Sri Tanjong, di sini hari ini.

Menurutnya, perayaan Tahun Baharu Cina yang diraikan ini lambang keserasian dan toleransi pelbagai kaum yang ada di negara kita.

Mohd Shafie berkata, sambutan ini adalah salah satu pendekatan yang penting bagi sesebuah negara khususnya dalam keadaan masyarakat majmuk.

“Kita mahukan semua masyarakat yang datang dari pelusuk kampung, daerah, negeri dan wilayah dapat merasai kemakmuran negara.

“Toleransi yang diwujudkan itu bukan hanya ungkapan dibibir sahaja, tetapi perlunya dizahirkan dari segi amalan dan perbuatan,” katanya.

Beliau berharap supaya dasar kerajaan yang ada di negara ini mampu menguatkan dan meningkatkan lagi hubungan semua rakyat.

“Hubungan akrab semua kaum juga boleh diwujudkan bermula daripada seawal kanak-kanak peringkat sekolah rendah lagi,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengharapkan hak Sabah seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dilaksanakan.

“Hak itu sudah diutarakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan itu adalah langkah yang sangat baik.

“Usaha itu sangat dialu-alukan dan paling penting ia menjadi kenyataan supaya semua rakyat di Sabah menerima manfaatnya,” katanya.

Turut hadir, Isteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal, Datin Seri Panglima Hajah Shuryani Datuk Haji Shuaib; ADUN Tanjung Aru, Datuk Junz Wong; ADUN Sri Tanjong, Justin Wong; ADUN Merotai, Sarifuddin Hata, mantan Ahli Parlimen Kalabakan, Sulaiman Ma’Mun dan bekas ADUN Sri Tanjong, Datuk Jimmy Wong.

  • oleh
  • Advertisement