Anda di sini

Kerajaan negeri tidak abai kesihatan rakyat

Advertisement
 Christina menyambut kehadiran Hajiji yang merupakan tetamu khas dalam majlis tersebut.
SAMBUT: Christina menyambut kehadiran Hajiji yang merupakan tetamu khas dalam majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan mengabaikan soal kesihatan rakyat walaupun mengambil keputusan menerima kehadiran pelancong dari China bermula bulan depan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew berkata, pihaknya akan memberi jaminan terhadap kesihatan rakyat di negeri ini.

“Kami akan cuba yang terbaik bagi memastikan keselamatan sentiasa diutamakan semasa kehadiran pelancong dari negara lain.

“Keputusan untuk membuka semula pintu masuk kepada pengembara dari luar negara terutamanya China adalah untuk memulihkan industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api Api ketika ditemui dalam majlis sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Persekutuan Persatuan Cina Sabah (FCAS), di sini Isnin lepas.

Christina berkata, pihaknya juga sudah menghubungi menteri yang bertanggungjawab dalam hal kesihatan di Sabah baru-baru ini.

Menurutnya, dia akan bertemu dengan menteri berkenaan untuk membincangkan dasar yang boleh dilaksanakan bersama ketika mengalu-alukan kedatangan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Sudah pasti ada peraturan mengenai langkah berjaga-jaga dilaksanakan yang akan dipatuhi oleh agensi dan pengendali pelancongan.

“Langkah itu juga meliputi operasi pemandu pelancong, pembekal logistik, pengangkutan, pengusaha restoran, kedai cenderahati, taman awam dan tempat pelancongan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tapak perkhemahan tidak berlesen seperti di Batang Kali yang meragut 31 nyawa pada Disember tahun lalu, katanya, kementeriannya akan berbincang dengan PengarahTaman-Taman Sabah.

“Saya akan meminta pihak berkuasa terutamanya Taman-Taman Sabah untuk menasihati pemilik tapak percutian tidak berlesen supaya melakukan perkara yang betul.

“Perkara ini perlu diambil berat kerana kita tidak mahu kejadian seperti tanah runtuh di Batang Kali berlaku sehingga menjejaskan industri pelancongan di Sabah,” katanya.

Selain itu, beliau juga menyentuh soal kepentingan keselamatan aktiviti menyelam kerana pernah berlaku dua pelancong China dan juru selam maut akibat bom ikan pada tahun 2019.

Turut hadir pada majlis tersebut, Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor.

  • oleh
  • Advertisement