Anda di sini

Bot karam, dua selamat, seorang masih hilang

Advertisement
 Pasukan Bomba semasa menjalankan operasi pencarian di sekitar lokasi kejadian.
SAR: Pasukan Bomba semasa menjalankan operasi pencarian di sekitar lokasi kejadian.

TUARAN: Dua infom selamat manakala seorang lagi masih hilang selepas bot dinaiki karam di perairan Karambunai di sini kira-kira jam 6 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata setakat ini identiti ketiga-tiga mangsa masih belum dapat dikenal pasti dan usaha mencari giat dijalankan.

Katanya enam anggota dan pegawai bomba bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan jam 6.07 pagi.

“Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan daripada orang awam berhubung sebuah bot karam berhampiran sebuah pusat peranginan di Karambunai.

“Terdapat tiga individu terlibat namun dua daripadanya berjaya menyelamatkan diri manakala seorang lagi hilang bersama bot dinaiki,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran sedang menjalankan siasatan lokasi kejadian. 

Katanya, sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan di beberapa bahagian di Sabah.

Laman sesawang Facebook MetMalaysia, memaklumkan bahawa ianya membabitkan amaran peringkat bahaya, buruk dan waspada.

"Amaran hujan berterusan (Bahaya) dijangka berlaku di Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan) dan Kudat.

"Sementara itu, amaran hujan berterusan (Buruk) dikeluarkan bagi bahagian pedalaman (Tambunan), Pantai Barat dan Tawau (Lahad Datu).

"Manakala, amaran hujan berterusan (Waspada) dikeluarkan bagi Sandakan, iaitu di Tongod," katanya.

Menurutnya, kesemua amaran itu dikeluarkan pada jam 6.30 pagi, dan dijangka berlaku sepanjang hari.

  • oleh
  • Advertisement