Anda di sini

Bonus pekerja swasta wajar dikecualikan cukai

Advertisement

Pengecualian cukai ke atas bonus penjawat awam juga harus diguna pakai ke atas pekerja swasta

LO
LO

"Ia satu diskriminasi, sangat diskriminasi, melainkan pemberian bonus kepada pekerja di sektor swasta turut dikecualikan daripada dikenakan cukai."

Andrew Lo
CEO SBEU 

KUCHING: Pelaksanaan pengecualian cukai ke atas bonus yang diberikan kepada penjawat awam juga harus diguna pakai ke atas pekerja swasta, tegas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kesatuan Pekerja Bank Sarawak (SBEU) Andrew Lo.

Beliau berkata sekiranya pengecualian itu hanya diberikan kepada penjawat awam, ia merupakan satu diskriminasi dan tidak adil kepada pekerja swasta di negara ini.

"Ia satu diskriminasi, sangat diskriminasi, melainkan pemberian bonus kepada pekerja di sektor swasta turut dikecualikan daripada dikenakan cukai," katanya ketika dihubungi semalam.

Lo yang merupakan bekas Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Sarawak dalam pada itu berkata, dengan pengecualian cukai ke atas bonus diberikan kepada penjawat awam, kumpulan itu digesa lebih produktif dan efisien melaksanakan tugas diberikan kepada mereka.

"Malah pejawat awam kanan dalam kumpulan profesional dan pengurusan menerima manfaat ini," ujarnya.

Lo berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan pemberian bonus kepada kakitangan awam di semua negeri akan dikecualikan cukai pada 20 Januari 2023.

Anwar berkata keputusan itu dibuat atas pertimbangan bahawa bonus penjawat awam tidak tinggi dan tidak wajar dikenakan cukai.

"Saya fikir munasabah kerana bonus itu tidak tinggi.

"Jadi, oleh itu bonus akan dikecualikan daripada cukai dan ini terpakai kepada semua penjawat awam di seluruh negeri," kata Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.

Untuk rekod, cadangan pengecualian cukai itu dikemukakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pertemuan beliau dengan Perdana Menteri sehari sebelum (19 Januari 2023) Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) diadakan.

Advertisement