


KOTA KINABALU: Seorang nelayan terpaksa mengharungi ombak kuat dan berenang lebih 14 jam bagi menyelamatkan diri selepas terjatuh ke dalam laut di antara perairan Mengalum dan Pulau Gaya di sini.
Berkongsi pengalamannya yang tidak dapat dilupakan itu Al Sipal Abdullah, 30 berkata kejadian berlaku apabila keadaan cuaca tiba-tiba bertukar buruk sebelum ombak memukul bot pam yang dinaikinya.
“Sebelum kejadian saya dan dua lagi sahabat turun ke laut seperti biasa pada jam 4 pagi bagi mencari rezeki.
“Keadaan cuaca sehingga jam 6 pagi sangat baik dan saya berjaya memperoleh empat ekor ikan bersaiz besar sehinggalah keadaan cuaca bertukar buruk pada jam 9.30 pagi.
“Pada waktu itu angin kencang dan laut bergelora sebelum bot dinaiki dipukul ombak dan saya tidak dapat mengawal keadaan lalu terjatuh ke dalam laut,” katanya.
Beliau berkata sebaik terjatuh ke laut, dia berusaha untuk mengejar bot yang bergerak berikutan keadaan enjin yang masih hidup bagaimanapun arus ombak yang kuat melambatkan pergerakannya sehinggalah bot terbabit hilang dari pandangannya.
“Saya berhenti mengejar bot terbabit dan mengurangkan pergerakan bagi menyimpan tenaga dan berusaha berenang ke arah daratan.
“Syukurlah ketika itu keadaan angin kuat dan arus semasa keadaan air pasang menghala ke daratan dan saya hanya berenang perlahan-lahan mengikuti arah arus ombak terbabit,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata selepas hampir dua jam berenang keadaan jaket keselamatan bertambah berat kerana dipercayai keadaan jaket terbabit yang sudah tamat tempoh.
“Disebabkan jaket keselamatan itu tidak dapat menampung saya lagi maka saya buka dan buang serta berusaha berenang perlahan-lahan tanpa sebarang bantuan pelampung,” katanya.
Tambahnya semasa berenang itu beliau berhadapan cabaran hidupan di lautan iaitu digigit sotong.
“Semasa berada di lautan dalam saya merasakan ada hidupan bergerak mendekati saya sebelum mengigit bahagian kulit saya.
“Apabila diteliti hidupan itu ialah sotong jenis torak yang mengambil kesempatan untuk mengigit saya.
“Tanpa berfikir panjang saya menangkapnya dan memakan sotong sebesar ibu jari kaki sepanjang kira-kira empat inci itu berikutan saya sangat lapar ketika hari mulai gelap,” katanya.
Tambahnya dua ekor sotong yang dimakannya sangat membantu mengisi perut walaupun pelbagai jenis makanan segera kegemarannya yang terlintas di dalam fikirannya ketika itu.
Beliau berkata apabila keadaan di lautan mulai gelap dia hanya berenang berpandukan arah lampu kapal yang berlabuh di bahagian belakang perairan Pulau Sepanggar.
“Saya sangat bersyukur kerana kelibat saya di lautan berjaya dikesan kru kapal pelantar berhampiran sebelum mereka menyelamatkan saya dan naik ke atas kapal terbabit kira-kira jam 11.30 malam.
“Mereka kemudiannya menghubungi keluarga saya menggunakan telefon satelit sebelum saya dijemput ahli keluarga tidak lama selepas itu,” katanya.
Terdahulu kehilangan Al Sipal di lautan disedari dua rakannya yang mengesan bot pam beliau berpusing tanpa juragan pada jam 10 pagi.
Mereka kemudiannya menunda bot terbabit dan balik ke rumah lalu memaklumkan kejadian kepada ahli keluarganya sebelum membuat laporan polis pada jam 3 petang.
Salah seorang sepupunya Sahidjuan Abdul Rahim semasa dihubungi berkata sebaik menerima berita kehilangan Al Sipal itu semua ahli keluarga bersedih tambah-tambah lagi hanya ikan yang dibawa balik tanpa sepupunya.
Katanya nenek mereka yang tinggal bersama Al Sipal pitam manakala saudara yang lain di rumah terbabit turut menangis.
“Sebaik laporan polis dibuat, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) tidak dapat dilaksanakan berikutan keadaan cuaca hujan yang sangat lebat petang semalam.
“Sahabat nelayan serta penduduk kampung lain juga tidak dapat turun ke laut untuk menjalankan pencarian disebabkan cuaca buruk,” katanya.
Beliau bagaimanapun berkata pihaknya kemudian mendapat panggilan berkenaan keadaan mangsa yang selamat dan tanpa membuang masa mereka segera ke kapal terbabit untuk menjemput mangsa balik ke rumah.
Dalam pada itu Al Sipal menasihatkan rakan nelayan lain agar lebih berhati-hati semasa turun ke laut terutama semasa cuaca buruk.
Beliau juga menyarankan agar setiap bot mempunyai gelen kosong untuk digunakan sebagai peralatan tambahan yang boleh menampung berat seperti pelampung semasa kecemasan.
Al Sipal bagaimanapun berkata beliau tidak akan serik turun ke laut selepas ini berikutan lautan itulah yang menjadi sumber rezekinya sehari-hari.