Anda di sini

Bangunan runtuh di Aleppo, 16 maut

Advertisement

Bayi dan kanak-kanak antara terbunuh, hanya empat berjaya diselamatkan namun cedera

Kenderaan polis dihiasi dengan tangkai pokok zaitun bergerak dalam perarakan pengebumian bagi mangsa runtuhan bangunan sehari sebelumnya di bandar utara Aleppo, kelmarin. - Gambar AFP
Kenderaan polis dihiasi dengan tangkai pokok zaitun bergerak dalam perarakan pengebumian bagi mangsa runtuhan bangunan sehari sebelumnya di bandar utara Aleppo, kelmarin. - Gambar AFP


ALEPPO: Sebuah bangunan roboh pada Ahad lalu di bandar kedua Aleppo yang musnah akibat peperangan di Syria, membunuh 16 orang termasuk kanak-kanak, dengan pencarian bagi mangsa terselamat dilanjutkan sehingga malam.

Sebahagian besar Aleppo telah musnah ketika konflik di Syria yang bermula hampir 12 tahun lepas serta menyebabkan banyak bangunan dalam keadaan uzur.

“Jumlah mangsa akibat bangunan kediaman yang runtuh telah meningkat kepada 16 kematian,” menurut agensi berita negara SANA. Sebuah badan pemerhati perang menyatakan mereka adalah rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal semasa peperangan.

Empat orang berjaya diselamatkan dari bawah runtuhan, lapor SANA, menyatakan  mereka telah tercedera.

Pada awal Ahad ia menyatakan angka kematian awal seramai 10 orang yang bertambah sepanjang hari tersebut.

Beberapa pekerja penyelamat bekerja keras di kawasan itu pada waktu malam, menurut koresponden AFP, dan sebahagian daripada mereka menggunakan tangan kosong untuk menggali runtuhan bata kelabu.

Jentera penyodok mengaut bahagian bangunan, menyebabkan kepulan debu naik ke udara, tambah koresponen tersebut.

Sebuah agensi berita Kurdis melaporkan lima kanak-kanak turut terbunuh, seorang daripadanya masih bayi, menurut Syrian Observatory for Human Rights.

Menurut kementerian dalam negeri, bangunan lima tingkat itu merupakan kediaman bagi tujuh keluarga.

Penduduk tempatan memberitahu AFP mengenai 35 orang yang menetap di sana.

Beberapa bangunan di Aleppo, hab komersial pra-perang di Syria, sering roboh disebabkan infrastruktur usang termasuk kekurangan penyeliaan bagi memastikan keselamatan ke atas projek pembinaan baharu dan sebahagiannya telah dibina secara haram.

SANA memetik sumber polis sebagai menyatakan bahawa bangunan di kawasan kejiranan Sheikh Maksoud telah roboh disebabkan oleh kebocoran air dalam  bahagian asasnya.

Kawasan kejiranan itu kebanyakan didiami penduduk Kurdis Syria yang berada di bawah pentadbiran militia Unit Perlindungan Rakyat (YPG), sebahagian tentera de facto pihak berkuasa Kurdis.

Aleppo sendiri bagaimanapun terletak di bawah kawalan  kerajaan yang merampasnya semula daripada pemberontak ketika perang yang memusnahkan.

Syrian Observatory yang berpusat di British melaporkan mangsa merupakan orang yang tiada tempat tinggal dari Afrin, nun di utara, di mana negara jiran Turkiye melancarkan serangan pada 2018.

Hampir setengah juta orang telah terkorban dalam konflik Syria yang bermula pada 2011 dan menyebabkan kira-kira separuh populasi pra-peperangan di negara  tiada tempat tinggal.

Ramai terpaksa meninggalkan kediaman dan berpindah ke bangunan tidak kukuh dari segi struktut, mengakibatkan kejadian roboh sering kali berlaku.

Pada September lepas, sebuah bangunan roboh di kawasan kejiranan Ferdaws di Aleppo membunuh 10 orang, termasuk tiga kanak-kanak.

Sebuah blok flat yang rosak akibat peperangan turut ranap di bandar itu pada Februari 2019, menyebabkan 11 orang terbunuh termasuk empat kanak-kanak. – AFP

Advertisement