Anda di sini

Anggota polis bebas tuduhan bunuh pekedai di Karachi

Advertisement
Anwar bercakap kepada media di Karachi, kelmarin selepas mahkamah melepaskannya daripada tuduhan membunuh seorang pekedai pada 2018. - Gambar AFP
Anwar bercakap kepada media di Karachi, kelmarin selepas mahkamah melepaskannya daripada tuduhan membunuh seorang pekedai pada 2018. - Gambar AFP

KARACHI: Mahkamah Pakistan kelmarin membebaskan lebih 12 anggota polis dalam kes pembunuhan seorang pekedai Karachi pada 2018, menurut peguam keluarganya, dalam kejadian tembakan yang mencetuskan kemarahan umum terhadap salah laku polis.

Kumpulan hak asasi telah lama menuduh polis Pakistan bertindak semberono dan menembak suspek tanpa siasatan.

Pada Januari 2018, Rao Anwar, pesuruhjaya kanan dengan rangkaian tuduhan terhadapnya, mengetuai serbuan ke atas sebuah tempat persembunyian suspek anggota Taliban Pakistan di bandar pelabuhan Karachi.

Empat lelaki terbunuh, termasuk Naqeebullah Mehsud, 27, yang mana keluarganya menolak dakwaan mengenai hubungan dengan militan dan menyatakan dia bekerja dalam bidang jualan ketika mencapai impiannya dalam permodelan.

Tidak lama selepas kematiannya, portfolio permodelan Mehsud telah menular dalam media sosial mencetuskan protes di beberapa bandar diketuai ribuan anggota kumpulan etnik Pashtun.

Ketua hakim negara campur tangan dalam apa yang merupakan kes akauntabiliti yang jarang berlaku dalam Pakistan yang terlalu korup.

Pada Isnin, mahkamah anti-pengganas yang bersidang di penjara pusat di Karachi membebaskan kesemua tertuduh termasuk Rao Anwar, Salahuddin Panwar, peguam keluarga Mehsud, memberitahu AFP.

Seramai 18 pegawai penguatkuasaan undang-undang telah dibicarakan dan Panwar berikrar akan mencabar keputusan itu di mahkamah yang lebih tinggi.

Bercakap kepada media domestik selepas pembebasannya, Anwar menyatakan kes palsu itu telah mencapai penghujung logiknya.

Bandar selatan Karachi, kediaman lebih 15 juta orang, pernah menjadi sarang militan, namun satu tindakan polis bermula pada 2013 membawa kepada kemerosotan dramatik keganasan.

Juga pada 2022 Human Rights Watch menyatakan beberapa agensi penguatkuasaan undang-undang Pakistan bertanggungjawab ke atas pencabulan hak asasi manusia yang teruk, termasuk penahanan tanpa dakwaan dan pembunuhan di luar perundangan.

"Kerajaan tidak tergerak untuk mendakwa agensi penguatkuasaan undang-undang yang bertanggungjawab bagi penyeksaan dan salah laku serius yang lain,” menurutnya. – AFP

Advertisement