Anda di sini

Sarawak diseru tolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012

Advertisement
WONG

SIBU: Kerajaan Sarawak yang diterajui Gabungan Parti Sarawak (GPS) harus berpendirian sama dengan Sabah menolak penguatkuasaan Akta Laut Wilayah 2012. 

Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Dato Sri Wong Soon Koh berkata, sebagai peneraju Kerajaan Perpaduan sekarang, GPS harus menuntut permintaan yang sama.  

Katanya, sudah tiba masanya kerajaan GPS membuat pendirian yang tegas untuk menolak penguatkuasaan akta tersebut.

"Memandangkan Sabah telah membuat pendirian tegas untuk menolak Akta Laut Wilayah 2012, kita di Sarawak juga harus membuat pendirian yang sama.

"Ini adalah pendirian kukuh dan ikrar yang diambil kerajaan GPS pada 2018 yang kini bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan.

"GPS mesti tegas dalam menyatakan tuntutannya, seperti apa yang telah dilakukan oleh kerajaan Sabah pada 20 Januari lalu," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Wong, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang pemimpin yang berdedikasi serta bersedia untuk membuat perubahan.

Wong berkata, Anwar telah menunjukkan keazaman dan bertekad menubuhkan satu ciri baharu kerajaan yang bersih.

Anwar juga bersungguh-sungguh menghapuskan ketidakcekapan dan rasuah serta sentiasa berusaha menyelesaikan sesuatu tanpa banyak berlengah-lengah.

"Dia segera menumpukan dirinya untuk menyelesaikan perkara yang berkaitan dengan MA63.
 
"Setelah beberapa penurunan kuasa pentadbiran dilakukan, adalah menjadi harapan kami agar Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 harus terus menangani isu-isu teras yang menjejaskan hak dan kepentingan Sarawak," tegasnya.

Justeru, beliau berharap kerajaan GPS bekerja keras menuntut semula semua hak yang ada pada Sarawak dan kepada rakyat Sarawak.  

Tambahan pula, Anwar pada sidang media pada 20 Januari lalu, menegaskan tidak mahu ada ahli politik yang hanya bercakap sahaja tetapi tidak menyampaikan atau memberi komitmen.

Ini kerana Anwar mahukan rakyat memahami bahawa politik adalah mengenai integriti.

Bercakap lanjut, Wong mengingatkan kerajaan GPS supaya tidak menerima penurunan kuasa dan autonomi politik serta pentadbiran tanpa mengambil kira aspek kewangan dan faedah Sarawak. 

Katanya, penurunan kuasa dan autonomi mesti disertakan dengan akses Sarawak kepada sumber kewangannya.

"Oleh itu, kami sangat menggesa kerajaan GPS untuk memperjuangkan hasil minyak dan gas serta sumber maritim untuk meningkatkan keupayaan kewangan bagi membiayai infrastruktur dan kemudahan asas yang telah lama ditunggu-tunggu demi kesejahteraan rakyat Sarawak," katanya.

Advertisement