Anda di sini

Pengumuman naik taraf CIQS sempadan Sarawak, Sabah disambut baik

Advertisement
 Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (tengah) bersama Naib Presiden WARISAN Datuk Junz Wong, Ketua Penerangan WARISAN Datuk Azis Jamman, Ahli Majlis Tertinggi WARISAN Ben Chong serta tetamu kehormat lain menyempurnakan acara Yee Sang di majlis berkenaan.
YEE SANG: Presiden WARISAN Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal (tengah) bersama Naib Presiden WARISAN Datuk Junz Wong, Ketua Penerangan WARISAN Datuk Azis Jamman, Ahli Majlis Tertinggi WARISAN Ben Chong serta tetamu kehormat lain menyempurnakan acara Yee Sang di majlis berkenaan.

KOTA KINABALU: Usaha kerajaan Malaysia untuk menaik taraf prasarana dan keupayaan kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (CIQS) di sempadan Sarawak, Sabah mampu memperkasakan lagi hubungan diantara negara ini dengan Indonesia.

Presiden Parti Warisan (WARISAN) Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, usaha seumpamanya sudah disuarakan sejak peringkat awal ketika beliau mengadakan lawatan ke Kalimantan, Indonesia beberapa tahun lalu.

"Kita pada peringkat awal kita menyatakan CIQS di kawasan Tawau kerana jaraknya dekat dengan Kalimantan Utara serta ibu kota baharu Indonesia nanti.

"Perkara itu dilakukan dibawah pemerintahan Pakatan Harapan (PH) lalu," katanya ketika ditemui pada Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina ADUN Tanjung Aru Datuk Junz Wong di sini, hari ini.

Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, kini usaha yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diharapkan dapat dilaksanakan secepat mungkin kerana ianya mampu memperkasakan lagi hubungan baik yang sudah sedia terjalin dengan Indonesia.

Katanya, kerjasama erat perlu dilakukan dengan Indonesia khususnya dalam bidang perladangan kerana Malaysia memerlukan tenaga buruh.

"Perkara ini serius dan perlu diperincikan segera...bukan sahaja CIQS," katanya.
 
Dalam pada itu katanya, berkaitan status Sabah Sarawak menjadi Wilayah, Shafie menjelaskan Rang Undang-Undang berkaitan perkara itu sudah diwartakan sebelum ini.

"Jangan mengatakan ianya tiada keperluan, cuma ia salah satu kelainan daripada entiti sedia ada bagi membolehkan Sabah dan Sarawak merupakan Wilayah," katanya.

Menurutnya, Wilayah mempunyai banyak perbezaan dengan sebuah negeri, khususnya dari segi pemberian geran khas serta kuasa-kuasa berkaitan dan hak-hak tertentu dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
 
Katanya, Wilayah dijadikan sebagai entiti kerana melibatkan MA63 diantara Malaya ketika itu Tanah Melayu dan kerajaan Borneo (Sabah Sarawak) ketika itu dalam permerintahan British.

"Saya yakin apa yang penting cuma ia diletakkan di situ sebagai landasan supaya bukan hanya perundangan tetapi juga provision tuntutan-tuntutan yang perlu seperti yang diumumkan Perdana Menteri," katanya.

Berkaitan dengan sambutan Tahun Baharu Cina, Shafie yakin perayaan tahun ini sangat bermakna kepada masyarakat Tionghua di Malaysia dan seluruh dunia kerana sebelum ini ianya tidak dapat diadakan disebabkan pandemik COVID-19.

Bagaimanapun katanya, walaupun tiada sebarang sekatan diadakan, semua pihak masih perlu peka dan berhati-hati dari segi penjagaan kesihatan.

"Kita berharap amalan hormat menghormati dapat dikukuhkan dalam umat pelbagai kaum di Malaysia dan dunia hari ini yang menuntut semua perlu ada pepaduan dan kesatuan," katanya.


 

  • oleh
  • Advertisement