Anda di sini

AIM Sabah catat pembiayaan tertinggi: Jahinin

Advertisement
JAHININ SIMAN
JAHININ SIMAN



KOTA KINABALU: Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Wilayah Sabah mencatat sejarah tersendiri apabila berjaya mencapai pengeluaran pembiayaan sebanyak RM320 juta pada tahun 2022 berbanding RM170 juta tahun sebelumnya.


Pengarahnya, Jahinin Siman (gambar) berkata, laporan kewangan AIM tahun 2022 menunjukkan pencapaian itu melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM227 juta iaitu lebihan sebanyak RM93 juta.

Menurutnya, pencapaian drastik sebanyak 114 peratus itu berlaku dalam tempoh hampir dua tahun sejak beliau mengambil alih pentadbiran AIM Wilayah Sabah pada Mac 2021 lalu.


"Tahun 2020 lalu, pengeluaran pembiayaan pinjaman AIM Wilayah Sabah hanya RM124 juta, meningkat sedikit kepada RM170 juta pada tahun 2021 dan terus naik drastik kepada RM320 juta tahun 2022 lalu.


"Dari segi peratusan, pencapaian ini menjadikan AIM Wilayah Sabah yang sebelum ini sering ketinggalan, kini berada di kedudukan teratas mengatasi wilayah lainnya di seluruh Malaysia.


"Untuk tahun ini, kita mensasarkan pengeluaran pinjaman sebanyak RM350 juta bagi  memenuhi keperluan modal perniagaan yang meningkat ekoran inflasi," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya dekat sini baru-baru ini.


Jahinin berkata, AIM Wilayah Sabah juga mencatatkan 99.8 peratus kadar bayaran balik pinjaman untuk tahun 2022, sekaligus menunjukkan pencapaian memberangsangkan iaitu kurang 0.01 peratus pinjaman tidak berbayar.


Menurutnya, pencapaian itu membuktikan komitmen pesertanya dikenali sebagai Sahabat Usahawan AIM yang sentiasa komited dalam melunaskan pinjaman tepat pada masanya.


"Kerjasama semua warga AIM Wilayah Sabah memainkan peranan hingga pencapaian membanggakan ini direalisasikan di samping pembaharuan gerak kerja yang saya bawa sebelum ini.


"Paling penting sebagai ketua, saya sentiasa bergerak di depan untuk memberikan perkhidmatan kepada Sahabat AIM. Bukan sebaliknya, sekaligus memberi teladan kepada kakitangan saya," tegasnya.


Sehubungan itu katanya, komitmen lebih jitu akan digerakkan selepas ini bagi memenuhi objektif pembangunan ekonomi Sahabat AIM selari dengan hala tuju Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop), Datuk Ewon Benedict.

  • oleh
  • Advertisement