Anda di sini

Polis tahan tujuh lelaki, rampas ganja bernilai RM2.1 juta

Advertisement
Mohd Shuhaily (kanan) menunjukkan dadah jenis ganja seberat 840.729 kilogram (kg) bernilai RM2.1 juta yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 18 dan 19 Januari lepas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini. - Gambar Bernama
Mohd Shuhaily (kanan) menunjukkan dadah jenis ganja seberat 840.729 kg bernilai RM2.1 juta yang dirampas dalam empat serbuan di daerah Timur Laut dan Barat Daya pada 18 dan 19 Januari lepas ketika mengadakan sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri hari ini. - Gambar Bernama

GEORGE TOWN: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang penjawat awam dan merampas 840.729 kilogram (kg) ganja bernilai RM2.1 juta dalam beberapa serbuan di negeri ini dan Perak, Khamis lepas.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata operasi khas oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Pulau Pinang itu dilakukan hasil maklumat dan risikan sejak beberapa minggu lepas.

"Penahanan bermula pada 6.45 pagi ke atas tiga lelaki yang menaiki sebuah kereta di Plaza Tol Bagan Ajam, Butterworth,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata hasil penahanan mereka, polis menyerbu kawasan parkir kenderaan di Bukit Jambul, di sini, kira-kira 25 minit kemudian dan merampas sejumlah ganja seberat 479.729 kg bernilai RM1.1 juta yang disimpan di dalam sebuah kereta.

Katanya pasukan polis turut menahan sebuah kereta di Plaza Tol Changkat Jering, Perak pada 7.44 pagi dan menahan tiga lagi lelaki di situ.

Mohd Shuhaily berkata polis kemudian menyerbu kawasan Persiaran Mahsuri, Bayan Baru dekat sini, pada 2 petang dan memeriksa sebuah kereta yang diparkir di situ lalu menemukan 10 guni plastik mengandungi 361 kg disyaki ganja dalam kenderaan berkenaan.

Beliau berlata susulan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Air Itam, di sini dan menahan seorang lagi lelaki pada 3.20 petang.

"Siasatan awal mendapati semua ganja pelbagai gred termasuk paling berkualiti itu dipercayai dibawa masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan. Sindiket tersebut yang mempunyai rangkaian sindiket luar negara menjalankan kegiatan tersebut sejak awal tahun lepas," katanya.

Beliau berkata keseluruhan dadah yang dirampas ialah sebanyak 823 ketulan mampat ganja seberat 840.729 kg yang kesemuanya bernilai RM2.1 juta dan boleh digunakan oleh 1.8 juta penagih dadah.

Menurutnya kesemua lelaki itu berusia 24 hingga 29 tahun dengan ada dalam kalangan mereka bekerja sebagai pemandu kenderaan di sebuah politeknik, jurutera, juruteknik komputer, peniaga dalam talian serta penganggur.

"Polis turut menyita dua kereta dan sebuah motosikal yang kesemuanya bernilai RM51,500 daripada mereka. Lima daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah," katanya dan menambah kesemuanya direman seminggu untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - Bernama 

Advertisement