Anda di sini

Kadar kematian kanak-kanak Bumiputera bawah 5 tahun di Sarawak perlu perbincangan menyeluruh: Dr Sim

Advertisement
Dr Sim (tengah) diapit para pemimpin yang lainnya bergambar kenangan di hadapan Dewan Masyarakat MBKS meraikan pengunjung yang datang ke Rumah Terbuka Gabungan Tahun Baru Cina 2023 pada Isnin.
Dr Sim (tengah) diapit para pemimpin yang lainnya bergambar kenangan di hadapan Dewan Masyarakat MBKS meraikan pengunjung yang datang ke Rumah Terbuka Gabungan Tahun Baru Cina 2023 pada Isnin.

KUCHING: Sebanyak 14 peratus kadar kematian kanak-kanak bumiputera berumur 5 tahun ke bawah dicatatkan di Sarawak ekoran kelemahan dari segi kemudahan infrastruktur perubatan, tenaga kerja dan pengoperasian.

Demikian kata, Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian sambil menambah bahawa Sarawak memerlukan perbincangan dan penelitian menyeluruh berkenaan kuasa autonomi dalam bidang kesihatan.

"Semua ini perlu dibincangkan. Itulah sebabnya ia sangat kompleks dan perkara ini sudah berlaku lama.

"Saya tidak mengetahui mengenai negeri lain, tetapi kadar kematian kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah di Sarawak adalah 14 peratus lebih tinggi berbanding kadar nasional," katanya ketika ditemui pemberita bagi mengulas lanjut berkenaan perincian kenyataan yang dibuat beliau semalam.

Pengembalian kuasa autonomi bidang kesihatan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) memerlukan 100 peratus peruntukan bagi infrastruktur, sumber manusia dan pembiayaan operasi.

Kekurangan salah satu daripada tiga perkara itu akan melemahkan sistem perubatan yang sepatutnya menyamai perkhidmatan perubatan yang telah lama disediakan di Semenanjung.

Dr Sim yang juga merupakan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak memaklumkan Sarawak berkemungkinan akan menggunakan pendekatan model yang berbeza.

"Seperti latihan siswazah graduan perubatan..mereka enggan datang ke Sarawak terutama sekali jika ia terletak di kawasan luar bandar.

"Ini kerana mereka diambil bekerja dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diberi pilihan untuk memilih tempat bekerja," jelasnya yang menyukarkan populasi di kawasan luar bandar negeri ini mendapat capaian penuh penjagaan kesihatan.

Bahkan Sarawak kini mengalami kekosongan untuk latihan siswazah menyebakan mana-mana pelatih yang datang ke sini akan diberikan kerja berganda sedangkan di Semenanjung dilakukan secara berkongsi.

"Inilah yang saya maksudkan dengan sangat kompleks. Dan kami mahu perbincangan yang sangat komprehensif supaya kami boleh mempunyai parameter mengenai autonomi ini," ujarnya.

Dr Sim yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawah juga meraikan para pengunjung ke Rumah Terbuka Gabungan Tahun Baru Cina 2023 di Dewan Masyarakat Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Dianggarkan sekitar 5,000 pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat, bangsa dan agama hadir untuk bersama menjamu juadah yang disediakan.

Antara pemimpin yang bergabung menjayakan majlis bersama itu adalah Timbalan Premier Sarawak Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Datuk Bandar MBKS Dato Wee Hong Seng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kitang Lo Khere Chiang dan ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap.

Hadir sama, isteri Dr Sim iaitu Datin Enn Ong Siok Ean, isteri Lo Margaret Lim Sok Kiang, Timbalan Datuk Bandar MBKS Hilmy Othman, Ketua masyarakat Cina Temenggong Datuk Tan Joo Phoi dan Setiausaha Politik Premier Sarawak Tan Kai.

  • oleh
  • Advertisement