Anda di sini

Makmurkan kepelbagaian kaum menerusi perkongsian sambut perayaan: Tun Taib

Advertisement
 

KUCHING: Seluruh rakyat Sarawak diseru agar terus mengekalkan budaya untuk memakmurkan keharmonian kepelbagaian kaum di Sarawak menerusi perkongsian dalam menyambut perayaan.

Yang di-Pertua Negeri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, meskipun rakyat negeri ini berlainan cara hidup, budaya dan kepercayaan, ia tidak seharusnya menjadi batu penghalang untuk bersatu dan hormat dan menghormati antara satu sama lain. 

“Ia akan membuat kita lebih menghargai serta memerlukan satu sama lain sekali gus melahirkan sifat bantu membantu dalam banyak perkara.

“Saya percaya kita semua telah menjadi satu keluarga yang sentiasa menjaga kepentingan, kebajikan dan keperluan keluarga yang lain,” katanya dalam ucapan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2023 di sini, semalam.

Tun Taib berkata, sepanjang tahun banyak perayaan seperti perayaan Hari Raya, Gawai Dayak, Krismas, Deepavali dan lain-lain lagi yang disambut oleh masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. 

Katanya yang baiknya, sambutan perayaan itu turut diraikan bersama oleh kaum-kaum lain melalui konsep rumah terbuka. 

Beliau berkata, ia adalah bertujuan bagi mengeratkan semangat muhibah dan jalinan kerjasama antara semua rakyat Sarawak.

“Tahun Baharu Cina adalah perayaan yang cukup penting bagi masyarakat Cina. 

“Kemeriahan sambutan amat dirasai apabila ahli keluarga berkumpul bersama menikmati makan besar dan bertemu dengan rakan-rakan, sanak saudara di samping memberi dan menerima angpau,” katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement