Anda di sini

Wanita didakwa miliki dadah, 16 Feb untuk sebutan lanjut kes

Advertisement
 

MIRI: Seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tuduhan memiliki dadah berbahaya jenis Methamphetamine.

Musfirah Shari, 24, dari Kampung Lereng Bukit di sini telah didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 12 (3) akta yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh bukan sebagai seorang yang diberi kuasa di bawah ADB 1952 telah dituduh memiliki dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 0.50 gram.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 4 petang, 15 Januari lalu di kawasan tepi jalan di Jalan Acacia 3A di sini.

Walau bagaimanapun, tiada pengakuan salah tertuduh direkodkan.

Di hadapan mahkamah, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk sebutan lanjut sementara menunggu laporan kimia berhubung barang kes siap.

Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi membenarkan permohonan itu dan menetapkan 16 Februari depan untuk sebutan lanjut kes.

Manakala tertuduh diperintahkan dibebas dengan jaminan RM2,000 berserta seorang penjamin tempatan sementara menunggu tarikh tersebut.

  • oleh
  • Advertisement