Anda di sini

Petani mengaku seludup masuk tujuh warga Indonesia dipenjara dua tahun

Advertisement
Tertuduh (dua kiri) keluar dari kamar mahkamah sambil diiring polis selepas dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.
Tertuduh (dua kiri) keluar dari kamar mahkamah sambil diiring polis selepas dijatuhkan hukuman di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini.

KUCHING: Seorang petani berusia 37 tahun dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menyeludup tujuh warga Indonesia ke dalam negeri pada Ogos 2022. 

Pesuruhjaya Kehakiman Alexander Siew How Wai memerintahkan hukuman penjara bagi Maurice Teru untuk dikuatkuasakan mulai tarikh dia ditangkap, 1 Ogos 2022. 

Beliau juga memerintahkan kereta sedan dan telefon bimbit milik tertuduh yang digunakan untuk kegiatan penyeludupan itu, untuk dikembalikan kepada tertuduh, selain mengarahkan wang tunai RM800 milik tertuduh untuk dirampas.

Difahamkan, wang tersebut merupakan upah diperolehi tertuduh daripada kegiatan itu.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu sebagai pemandu kereta sedan didakwa terlibat dalam penyeludupan tujuh warga Indonesia pada 1 Ogos 2022, di tepi jalan Kampung Tangga, Jalan Serian/Tebedu di Serian, sekitar jam 11.15 malam. 

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan boleh didenda sehingga RM250,000 atau kedua-duanya sekali. 

Berdasarkan fakta kes, sepasukan polis sedang membuat rondaan di sekitar kawasan tersebut sebelum memberhentikan kenderaan milik tertuduh yang berada dalam keadaan mencurigakan. 

Pemeriksaan dilakukan dilakukan dan siasatan mendapati kesemua tujuh migran dibawa oleh tertuduh telah diketuai oleh seorang ejen (yang disyaki warganegara Indonesia dan masih bebas) untuk memasuki Sarawak, melalui laluan haram.

Migran tersebut kemudian diarahkan menaiki kenderaan yang dipandu oleh tertuduh.

Selain itu, hasil carian yang dijalankan dengan Jabatan Imigresen Malaysia mendedahkan bahawa kesemua migran yang diseludup tidak mempunyai rekod kemasukan terbaharu ke Malaysia.

Sehubungan itu, dua daripada migran tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan mengaku bersalah apabila didakwa di Mahkamah Sesyen Semuja serta telah dijatuhkan hukuman sewajarnya. 

Sementara lima migran yang lain diperintahkan untuk diusir kembali ke negara asal.

Terdahulu semasa rayuan, peguam lantikan mahkamah yang mewakili tertuduh iaitu Clarice Chan memohon agar anak guamnya untuk dijatuhi hukuman penjara minimum dengan alasan tertuduh melakukan perbuatan itu untuk mencari nafkah bagi keluarganya. 

Menurutnya juga, tertuduh mempunyai tiga anak untuk ditanggung dan anaknya kini berada dalam jagaan salah seorang adik-beradiknya yang tidak bekerja buat masa ini. 

Pendakwaan bagi kes dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Md Syafique Md Hilmie.
 

  • oleh
  • Advertisement