Anda di sini

Lelaki Indonesia ceroboh premis Jabatan Laut dipenjara sebulan

Advertisement
 

KUCHING: Padah menceroboh masuk ke premis Jabatan Laut Sarawak di sini, seorang lelaki warga Indonesia berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara sebulan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Lim Khiong Meu, mengaku bersalah sebaik pertuduhan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali. 

Seksyen itu membawa hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara mulai dari tarikh tangkap dan mengarahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk tindakan lanjut.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu sekitar jam 7.15 pagi pada 10 Januari lalu, di kawasan Permata Hydro Ship, Jabatan Laut Sarawak di Jalan Utama, Tanah Puteh di sini. 

Berdasarkan keterangan kes, pengadu iaitu petugas di jabatan itu menyedari terdapat seorang lelaki tidak dikenali berada di kawasan kapal ataupun vesel yang terletak di jeti jabatan tersebut. 

Pengadu kemudiannya menahan tertuduh dan menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut. 

Tertuduh kemudiannya ditangkap semula oleh polis sekitar jam 8 pagi, hari sama. 

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa, Inspektor Mohd Adzmei Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 
 

  • oleh
  • Advertisement