Anda di sini

Geran khas tahunan Sabah, Sarawak ditambah

Advertisement
Anwar (tengah) bersama Abang Johari (dua kiri), Hajiji (kiri), Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof (dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali (kanan) pada sidang media selepas mesyuarat, hari ini. - Gambar Chimon Upon
Anwar (tengah) bersama Abang Johari (dua kiri), Hajiji (kiri), Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof (dua kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali (kanan) pada sidang media selepas mesyuarat, hari ini. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan bersetuju menambah jumlah geran bagi pemberian geran khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, jumlah geran untuk Sarawak akan bermula dengan RM300 juta, manakala Sabah RM260 juta.

"Perkara ini agak rumit dan telah lama dibincangkan iaitu berkaitan soal pemberian geran khas di bawah 112D Perlembagaan Persekutuan yang diberikan kepada Sarawak dan Sabah masing-masing RM16 juta dan RM26 juta. Ini adalah geran setiap tahun mengikut Perjanjian MA63.

"Sebagai peringkat awal, kami bersetuju untuk menambah jumlah daripada RM16 juta kepada RM300 juta untuk Sarawak. Tetapi ini tertakluk kepada formula, kerana jumlah itu (RM300 juta) tidak terikat dan tertakluk kepada keupayaan ekonomi kewangan persekutuan," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 yang dihadiri Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Jelasnya peruntukan geran khas tahunan itu sepatutnya disemak setiap lima tahun sekali tetapi ia tidak berlaku hingga ke hari ini.

Anwar berkata, keputusan itu dibuat kerana melihat ia munasabah dan sebagai Perdana Menteri, beliau menjalankan tugas untuk memberikan semangat baharu demi perpaduan rakyat Malaysia.

Pada awal bulan Januari, Anwar berkata, jumlah peruntukan bagi geran khas kepada Sabah dan Sarawak mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan harus dikaji setiap lima tahun agar jumlahnya lebih munasabah.

Katanya, kerajaan Persekutuan akan memastikan terdapat peningkatan jumlah munasabah terhadap geran berkenaan, dan ia dengan pemberian geran mengikut bilangan penduduk (capitation grant) atau geran Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS). 

Berhubung isu lain, beliau turut mengumumkan pengecualian cukai bagi pemberian bonus kepada semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri.

Beliau berkata, pada masa ini bonus diberikan kerajaan negeri tertakluk kepada cukai, tetapi atas permintaan Premier Sarawak beliau berasakan ia adalah munasabah.

"Bonus akan dikecualikan dari cukai dan ini terpakai untuk semua pegawai perkhidmatan awam di semua negeri. Ia adalah dicadangkan oleh Sarawak tetapi terpakai di semua negeri," katanya.

Dalam mesyuarat berkenaan juga kata Anwar, antara perkara yang dibangkitkan adalah berkaitan isu pelupusan tanah yang melibatkan kepentingan awam seperti sekolah.

Katanya, tanah yang telah dimohon sebagai contoh untuk membina sekolah yang telah diluluskan tetapi masih belum ada sebarang pelaksanaan atau tiada peruntukkan, harus diserahkan kepada kerajaan negeri dengan harga asal tanah tanpa mengira penilaian tanah masa kini.

"Sebagai contoh, tanah yang dimohon untuk bina sekolah pada tahun 1980 dan diluluskan pada tahun 1981 tetapi sehingga ke hari ini masih belum ada pelaksanaan yang melibatkan perancangan awam.

"Maka, kita bagi tempoh tiga bulan untuk menentukan kepastian (projek), jika tiada sekolah yang dibangunkan atau tiada peruntukan, maka tanah itu harus diserahkan kepada negeri dengan harga asal bukan penilaian berdasarkan harga tanah sekarang," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement