Anda di sini

Filem Coast Guard Malaysia:Ops Helang tonjol budaya sebenar Maritim Malaysia

Advertisement
ARIE
ARIE


KOTA KINABALU: Filem ‘Coast Guard Malaysia:Ops Helang’ yang bakal ditayangkan di semua pawagam seluruh negara pada 2 Februari ini menonjolkan budaya sebenar dalam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Filem terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production itu memaparkan kisah Pegawai Pasukan Tindakan Kas dan Penyelamat (STAR) Team) daripada Maritim Malaysia yang terpaksa berdepan dengan sekumpulan penjenayah di perairan negara apabila ahli keluarganya menjadi tebusan.

Penerbit filem berkenaan, Arie Zaharie berkata filem yang dibintangi pelakon Saharul Ridzwan dan Julia Farhana sebagai watak utama itu turut mendapat kerjasama penuh daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN); Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD); Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dan Maritim Malaysia.

Katanya, filem yang mengambil masa selama 55 hari untuk disiapkan itu merupakan sebuah filem yang penuh dengan aksi mendebarkan dengan suntikan babak-babak menjentik emosi para penonton.

“Filem ini juga yang pertama di Malaysia mengetengahkan sebuah agensi penguatkuasaan laut khususnya Maritim Malaysia sebagai penegak kepada undang-undang negara.  Selain itu juga filem ini turut memaparkan aset-aset ketenteraan di laut, udara dan darat.

“Selain itu, filem arahan Allahyarham Pitt Hanif atau nama sebenarnya Mohd Firdaus Mohamad Hanif turut memaparkan kemampuan dan aset yang dimiliki Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pembikinan filem yang dilaksanakan di beberapa buah negeri itu telah memakan kos perbelanjaan berjumlah sekitar RM15 juta.

Ketika ditanya mengenai pemilihan pengarah filem iaitu Allahyarham Pitt Hanif, Arie berkata, kredibiliti dalam pengarahan termasuk lakonan dan lakon layer menjadi antara keistimewaan buat dirinya untuk memilih Allahyarham Pitt Hanif sebagai pengarah filem ‘Coast Guard Malaysia : Ops Helang’.

“Kreativiti beliau dalam merealisasikan kehendak skrip selain memenuhi kemahuan para penerbit juga menjadi antara faktor pemilihan beliau sebagai pengarah filem kali ini,” katanya.

Sementara itu, Arie berkata, selaku penerbit pihaknya terpaksa mengawal kos berikutan keadaan cuaca yang tidak menentu dan masalah jerebu yang melanda sepanjang penggambaran di Langkawi.

Katanya, ini berikutan lokasi penggambaran adalah melibatkan laut dan pulau.

“Selain itu, kita juga perlu melihat kepada jadual penggunaan aset Maritim Malaysia dan kesesuaian kerana keadaan cuaca selain aset sedia ada perlu digunakan dalam operasi Maritim Malaysia selain ada aset yang mengalami kerosakan.  Itu antara cabaran yang dihadapi pihaknya,” katanya.

Antara lokasi pengambaran filem berkenaan adalah di Langkawi, Kedah, Kuantan dan Jerantut di Pahang, Perlis dan Melaka.
 

Advertisement