Anda di sini

Daftar perniagaan anda untuk masa hadapan yang lebih cerah

Advertisement
 

KUCHING: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) menggesa para usahawan untuk mendaftarkan perniagaan mereka bagi mendapatkan lebih banyak peluang dan kelebihan memajukan perniagaan pada masa hadapan.

Menurut satu kenyataan SSM hari ini, gesaan itu dibuat ekoran masih terdapat segelintir peniaga yang tidak mendaftarkan perniagaan mereka atas sebab-sebab tertentu.

Antaranya, perniagaan yang dijalankan secara kecil-kecilan, peniaga tidak tahu kewajipan untuk mendaftar perniagaan dan lokasi pejabat SSM agak jauh dari kediaman peniaga.  

"Namun, tahukah anda bahawa di bawah Akta Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 2016, semua perniagaan wajib didaftarkan, sama ada sepenuh masa ataupun separuh masa.

"Selain itu, semua perniagaan yang memperoleh keuntungan juga perlu didaftarkan di SSM," kata kenyataan itu.

Sudah tentu katanya, sebagai seorang usahawan yang menginginkan kelangsungan dan kejayaan dalam perniagaan, anda perlu berusaha untuk menjadikan perniagaan anda sah di sisi undang-undang dan seterusnya dikenali ramai. 

Setiap perniagaan tambah kenyataan itu, pasti akan melibatkan dana atau modal, sama ada dari segi pinjaman daripada institusi kewangan, daripada pelabur ataupun sumber yang lain. 

Oleh itu katanya, bagi meyakinkan mereka untuk meluluskan pinjaman atau melabur dalam perniagaan anda, adalah sangat penting untuk menjadikan perniagaan diperakui dan sah kewujudannya di sisi undang-undang. 

"Tambahan pula, dengan mendaftarkan perniagaan, ia menunjukkan bahawa anda adalah usahawan yang berkredibiliti dan komited untuk berniaga. 

"Pada masa sama, tindakan ini juga membuatkan para pelanggan berasa lebih yakin untuk berurusan dengan perniagaan yang dijalankan," ujarnya.

Selain itu, sekiranya perniagaan didaftarkan secara sah, ia juga akan memudahkan pihak kerajaan untuk mengenal pasti kewujudan perniagaan bagi menyalurkan bantuan, sama ada berbentuk kewangan mahupun latihan.

Hal ini kerana perniagaan yang berdaftar layak untuk menerima dan menikmati pelbagai insentif pembiayaan dan latihan yang disediakan oleh agensi-agensi kerajaan seperti Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Rakyat, MARA, TEKUN, CGC, SME Corp, PUNB dan lain-lain. 

Usahawan dan peniaga juga berpeluang menggunakan bantuan yang diberikan untuk meningkatkan dan mengembangkan perniagaan yang sedia ada ataupun perniagaan baharu.

Apabila perniagaan telah diperakui kewujudannya, pemilik dapat menjalankan aktiviti perniagaan secara sah dan bebas daripada risiko dikenakan denda sebanyak RM50,000 atau penjara dua tahun. 

Perkara ini turut memudahkan pemilik untuk memohon lesen premis dan permit termasuk insurans untuk perniagaan mereka. 

Selain itu, dengan adanya dokumen rasmi seperti sijil perniagaan SSM, ia akan memudahkan pemilik peniagaan untuk membuka akaun bank bagi tujuan perniagaan, lalu memudahkan proses permohonan pinjaman bank. 

"Perniagaan yang didaftarkan juga lebih mudah untuk disemak oleh pelanggan dan agensi-agensi kerajaan bagi mendapatkan maklumat tepat dan terkini," katanya.

Akhir sekali, dengan mendaftarkan perniagaan, kesemua aset atau harta, seperti jenama produk atau hasil perniagaan, yang dikumpul sepanjang perniagaan akan lebih mudah untuk diwarisi. 

Hal ini kerana kesemua aset atau harta akan diletakkan di bawah nama pemilik perniagaan sekiranya ia telah didaftarkan.

Selain berdaftar dengan SSM, usahawan di negeri Sabah dan Sarawak boleh mendaftarkan perniagaan mereka dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).  

Mulakan langkah pertama anda dengan mendaftarkan perniagaan agar menjadi sebuah entiti yang sah. Hentikan alasan, mulakan tindakan! 

Perniagaan yang dibina bukanlah untuk hari ini sahaja, malah, ia seharusnya menjadi dorongan kepada generasi usahawan yang akan datang. 

Untuk panduan lanjut serta tip dan bantuan, usahawan boleh mengikuti video ringkas berkenaan pendaftaran perniagaan di pautan berikut https://www.youtube.com/watch?v=Qo-pRixbGXs. 

Kepada usahawan yang belum mendaftar perniagaan dan merancang untuk mendaftar perniagaan, sila isikan soalan kaji selidik di pautan ini https://power.akpk.org.my/RnP/Home/PublicSurvey/91?fbclid=IwAR0ICS_Vzx1U....

Mengikuti modul AKPK, ‘Daftar Perniagaan Dengan SSM’ untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang cara-cara untuk mendaftarkan perniagaan, fungsi SSM, faedah mendaftarkan perniagaan dan sebagainya. 

Untuk membuat tempahan bagi mengikuti webinar ini, sila layari https://obs.akpk.org.my/. 

Anda juga boleh layari power.akpk.org.my untuk mempelajari modul Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) secara dalam talian.

Juga bagi, mendapatkan khidmat nasihat kewangan AKPK secara percuma jika memerlukan panduan pengurusan kewangan dengan  melayari tapak web AKPK di www.akpk.org.my dan klik tab Khidmat Nasihat Kewangan.
 

Advertisement