Anda di sini

BNM akan terus selaraskan OPR secara beransur-ansur sejajar peningkatan ekonomi

Advertisement
 

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan kadar dasar semalam (OPR) pada mesyuarat dasar monetarinya yang pertama bagi 2023, langkah yang telah dijangkakan oleh kebanyakan ahli ekonomi dan firma penyelidikan. 

Bank pusat menamatkan mesyuarat selama dua hari yang bermula 18 Jan dengan memutuskan untuk mengekalkan OPR pada  2.75 peratus untuk membolehkan ia menilai kesan kumulatif pelarasan OPR yang lalu berikutan kesan lewat dasar monetari ke atas ekonomi. 

Dalam soalan lazim mengenai dasar yang dikongsinya selaras dengan pengumuman OPR hari ini, bank pusat berkata penting untuk melaksanakan dasar yang betul pada masa yang tepat. 

"Kami mula membuat pelarasan pada OPR secara beransur-ansur apabila ekonomi bertambah baik. Tindakan ini sama seperti doktor yang perlu menyesuaikan dos ubat mengikut keadaan pesakit.

"Jika kami mengekalkan OPR terlalu rendah untuk tempoh yang terlalu lama walaupun ekonomi semakin pulih, hal ini boleh menyebabkan perbelanjaan dan peminjaman yang terlalu banyak. Keadaan ini seterusnya menyebabkan harga meningkat,” katanya.

BNM mengurangkan OPR daripada 3.00 peratus kepada paras terendah yang pernah dicatatkan iaitu 1.75 peratus semasa krisis COVID-19 pada 2020

Kadar faedah yang lebih rendah ini menyebabkan pinjaman lebih mudah diperoleh bagi menggalakkan perbelanjaan dan bank pusat mengambil tindakan ini untuk meredakan kesan pandemik semasa ekonomi tidak kukuh dan sedang mengalami kemelesetan.

Ia juga berkata pelarasan OPR, yang lazimnya mempengaruhi kadar faedah dalam ekonomi, memberikan kesan pada kegiatan ekonomi dan perubahan tahap harga secara keseluruhan

Apabila BNM menaikkan OPR, kadar faedah yang lebih tinggi bagi simpanan dan pinjaman akan mempengaruhi orang ramai untuk lebih menyimpan dan kurang berbelanja.

Sebagai contoh, apabila permintaan untuk barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi melebihi bekalan yang tersedia, harga barangan akan terus meningkat dan orang ramai akan berbelanja lebih untuk membeli barangan yang mereka ingini.

"OPR yang lebih tinggi akan membantu memperlahankan permintaan ke tahap yang lebih setara dengan bekalan. Keadaan ini dapat membantu mengurangkan tekanan kenaikan harga barangan. 

"Keadaan sebaliknya berlaku apabila ia mengurangkan OPR. Kadar faedah yang lebih rendah bagi pinjaman dan simpanan akan menyebabkan orang ramai kurang menyimpan dan lebih berbelanja.

"Hal ini meningkatkan kegiatan ekonomi dan mengelakkan tahap harga keseluruhan dari jatuh disebabkan oleh permintaan yang lemah yang jika tidak dibendung akan menjejaskan ekonomi,” kata bank pusat.

OPR instrumen dasar monetari untuk tangani inflasi

BNM juga berkata bahawa penormalan selanjutnya kepada tahap akomodasi dasar monetari akan diketahui menerusi keadaan yang berubah dan implikasinya kepada inflasi domestik dan prospek pertumbuhan.

"Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) akan terus menentukur tetapan dasar monetari yang mengimbangi risiko kepada inflasi domestik dan pertumbuhan yang mampan,” katanya.

Inflasi ialah ukuran perubahan harga barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi bagi sesuatu tempoh dan boleh diukur dengan membandingkan kos barangan pada masa ini dengan kos barangan yang sama pada tahun sebelumnya.

Setiap bulan, Jabatan Perangkaan Malaysia menghimpunkan harga kumpulan lebih 500 barangan daripada kira-kira 21,800 kedai runcit di seluruh negara. Mereka menggunakan kumpulan ini untuk mengira Indeks Harga Pengguna (IHP).

Inflasi diukur dengan membandingkan perubahan IHP untuk suatu tempoh masa

“Mustahak untuk mempunyai inflasi yang rendah dan stabil. Apabila inflasi rendah dan stabil, perubahan purata harga juga adalah stabil dan boleh dijangka.  

"Hal ini penting kerana jika harga sentiasa berubah dan sukar dijangka, isi rumah dan perniagaan sukar untuk merancang perbelanjaan, simpanan atau pelaburan. Hal ini seterusnya akan memberikan kesan terhadap kegiatan dan pertumbuhan ekonomi.

"Apabila peningkatan harga tidak terkawal, kuasa beli anda akan terjejas. Inflasi yang tinggi dan tidak menentu menjejaskan semua orang, terutamanya isi rumah yang berpendapatan rendah dan juga mengakibatkan keadaan yang lebih sukar untuk peniaga, yang mungkin berhadapan dengan kos yang lebih tinggi dalam mengeluarkan barangan dan memberikan perkhidmatan serta mungkin menerima hasil jualan yang lebih rendah jika permintaan pengguna terjejas akibat harga yang tinggi," katanya.

Deflasi

Bagaimanapun, harga keseluruhan yang jatuh untuk tempoh yang lama juga tidak bagus untuk ekonomi.

Keadaan ini dikenali sebagai deflasi, yang disebabkan oleh permintaan yang berkurang dengan ketara yang boleh memberikan kesan buruk.

Apabila ini berlaku, banyak individu akan kehilangan pekerjaan dan wujud lebih banyak ketidaktentuan dan tekanan kewangan. 

Syarikat perlu menurunkan harga untuk menarik pengguna tetapi orang ramai tidak akan berbelanja kerana kedudukan kewangan mereka yang tidak pasti dan mereka menunggu untuk harga terus turun.

"Sama seperti inflasi yang tinggi, deflasi juga menjejaskan ekonomi,” kata BNM.

Mengapa penting untuk mempunyai pertumbuhan yang mampan?

Bank pusat berkata pertumbuhan ekonomi berlaku apabila saiz ekonomi berkembang dari masa ke masa dan saiz sesebuah ekonomi lazimnya diukur oleh jumlah pengeluaran barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi tersebut, yang juga dikenali sebagai Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

"Pertumbuhan mampan bermaksud kadar ekonomi yang terus berkembang pada kadar yang stabil untuk suatu tempoh yang lama. Ada sesetengah pihak berpendapat langkah untuk mempercepat pertumbuhan ekonomi melebihi kadar yang mampan merupakan idea yang baik.

"Hal ini ibarat membuat pecutan yang terlalu laju dalam maraton. Anda mungkin berada di hadapan buat sementara waktu tetapi anda juga akan cepat penat dan mungkin tidak dapat menghabiskan larian tersebut.

"Oleh itu, pertumbuhan yang berterusan tanpa menimbulkan masalah lain adalah lebih penting. Kita sudah melihat pertumbuhan yang terlalu tinggi atau yang didorong oleh kredit yang mudah diperoleh boleh menjejaskan ekonomi dengan teruk, contohnya di negara yang menghadapi inflasi yang terlampau tinggi,” katanya.

Menurutnya, apabila hal ini berlaku, rakyat yang akan menanggung akibatnya dan menjadi lebih miskin, termasuk generasi akan datang. Pertumbuhan yang mampan dapat mengukuhkan ekonomi daripada mengalami kitaran pesat dan meleset.

"Justeru, kami mengimbangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang dalam dasar kami bagi memastikan pertumbuhan mampan.

Kadangkala, hal ini bermakna BNM perlu berhati-hati untuk tidak melaksanakan dasar yang mungkin memberikan pertumbuhan yang pesat pada masa ini tetapi boleh mengakibatkan ekonomi merudum pada masa hadapan.

"Oleh itu, BNM mengimbangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang dalam dasar kami bagi memastikan pertumbuhan mampan.

"Kadangkala, hal ini bermakna BNM perlu berhati-hati untuk tidak melaksanakan dasar yang mungkin memberikan pertumbuhan yang pesat pada masa ini tetapi boleh mengakibatkan ekonomi merudum pada masa hadapan,” kata bank pusat. 

Bagaimana MPC menetapkan OPR?

MPC bermesyuarat sekurang-kurangnya enam kali setahun untuk menetapkan dasar monetari. BNM mengumumkan keputusan dasar monetari ini selepas setiap mesyuarat MPC melalui Pernyataan Dasar (Monetari) 

Sejak OPR diperkenalkan pada tahun 2004, BNM telah membuat banyak pelarasan pada OPR, iaitu menaikkan dan mengurangkannya mengikut keperluan ekonomi

Paras OPR tertinggi ialah 3.50 peratus pada bulan April 2006. Pada masa itu, ekonomi sedang berkembang dengan stabil, inflasi IHP adalah pada 4.6 peratus dan OPR yang lebih tinggi diperlukan bagi menguruskan risiko harga yang lebih tinggi.

Paras OPR terendah ialah pada 1.75 peratus pada Julai 2020 hingga Mei 2022 bagi menyokong ekonomi semasa pandemik COVID-19

Pada tempoh sukar, kadar faedah yang rendah menyebabkan kos pinjaman lebih rendah dan mengurangkan pulangan atas simpanan. Ini akan merangsang perbelanjaan, meningkatkan pelaburan serta melindungi pekerjaan dan pendapatan semasa krisis. - BERNAMA
 

Advertisement