Anda di sini

16 Feb pengurusan kes lelaki tidak mengaku terlibat salah guna dadah 

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Majistret memerintahkan seorang lelaki dibebas dengan jaminan RM3,800 berserta dua penjamin tempatan setelah mengaku tidak bersalah atas tuduhan terlibat kegiatan penyalahgunaan dadah.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Februari depan untuk pengurusan kes.

Andriance Gray Ajong, 34, dari Kampung Tunku Abdul Rahman, Lambir di sini telah didakwa mengikut  Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara dua tahun dan serta-merta dikehendaki menjalani pengawasan oleh pegawai sebagaimana ditakrifkan di bawah Seksyen 2 Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 selama tempoh tidak kurang dari dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun mengikut Seksyen 38B ADB 1952.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah dituduh menggunakan dadah berbahaya jenis Amphetamine dan Methamphetamine yang terkandung di dalam Jadual Pertama ADB 1952 (Akta 234), dengan cara memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuh badan sendiri tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 10.35 pagi, 28 November 2017 di pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman memohon agar ditetapkan satu tarikh baharu untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah.

Pendakwaan dilakukan di hadapan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement