Anda di sini

Treler filem 'Pulau' tidak sesuai ditayangkan: Fahmi

Advertisement
Gambar Bernama

PETALING JAYA: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berpandangan treler filem bergenre seram, ‘Pulau’ tidak sesuai untuk ditayangkan.

Fahmi berkata bagaimanapun beliau tidak boleh bercakap bagi pihak Lembaga Penapis Filem (LPF) yang berada di bawah naungan Kementerian Dalam Negeri.

“Saya tak boleh bercakap bagi pihak LPF dan saya juga difahamkan pihak FINAS telah mengeluarkan kenyataan pada hari ini, tetapi dia bukan pada aspek penapisan. Apa-apa prosedur yang dipantau oleh FINAS itu adalah berlandaskan kepada SOP (prosedur operasi standard) perhubungan antara LPF dengan FINAS.

“Pandangan saya mungkin kita kena teliti semula beberapa SOP kerana jelas di sini telah berlaku satu pelanggaran dan saya difahamkan dari segi kelulusan LPF itu telah diberi pada bulan September tahun lalu, sebelum saya jadi menteri, sebelum kerajaan yang ada sekarang ini,” katanya ketika hadir pada tayangan eksklusif filem Duan Nago Bogho di sini, malam tadi.

Beliau diminta mengulas sama ada LPF atau FINAS akan mempertimbangkan semula tayangan filem itu di pawagam.

Fahmi berkata merujuk kepada treler filem tersebut yang telah tular dan pada pandangannya tidak sesuai, beliau sendiri telah berhubung dengan pihak Golden Screen Cinemas (GSC) dan difahamkan penerbit berkenaan memutuskan menarik balik treler terbabit dalam tempoh terdekat serta melakukan penyuntingan baharu.

Menurut Fahmi beliau turut difahamkan berdasarkan laporan yang diterimanya, berkemungkinan terdapat babak-babak yang dipotong terlepas masuk ke treler filem tersebut.

“Treler itu tidak ada potongan seperti dalam filem sebenar, tapi saya tidak boleh bercakap lebih daripada itu dan saya mohon dengan rakan-rakan media untuk berhubung dengan pihak LPF.

“Bagi saya, saya telah minta pihak FINAS untuk di masa hadapan, perkara ini perlu kami teliti, kaji semula dan rombak SOP. Kami tak nak jadi seperti ini, kelulusan itu diberi tanpa penelitian yang lebih khusus, saya rasa perlu ada penelitian,” katanya.

Semalam, media melaporkan (FINAS) tidak bertanggungjawab memberikan kelulusan tayangan treler filem bergenre seram, Pulau yang mencetuskan kontroversi kerana didakwa mengandungi adegan panas dan lucah.

Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Prof Dr Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata garis panduan kandungan penerbitan terletak di bawah bidang kuasa LPF.

Media turut melaporkan Pulau yang bakal ditayangkan 9 Mac depan menerima kecaman pelbagai pihak yang menggesa LPF mengkaji semula kelulusan karya terbitan WebTVAsia dengan kerjasama My Way Pictures dan Filmforce Studio itu. - BERNAMA
 

Advertisement