Anda di sini

Permintaan tinggi antara faktor bekalan telur ayam biasa kurang di pasaran Sarawak

Advertisement
Matthew (dua kanan) melihat harga telur ayam premium yang dijual di Boulevard Hypermarket Kuching, hari ini. Turut kelihatan (dari dua kiri) Peter, Wong dan Ariston. - Gambar Chimon Upon
Matthew (dua kanan) melihat harga telur ayam premium yang dijual di Boulevard Hypermarket Kuching, hari ini. Turut kelihatan (dari dua kiri) Peter, Wong dan Ariston. - Gambar Chimon Upon

KUCHING: Permintaan yang tinggi daripada pengguna dan peruncit kecil-kecilan di Sarawak antara faktor berlakunya kekurangan bekalan telur ayam biasa di pasaran ketika ini.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sarawak Matthew Dominick Barin berkata, bagi mengatasi kekurangan bekalan, peniaga disaran menjual telur premium iaitu (telur) jenis Omega.

Bagaimanapun katanya, telur jenis Omega yang dijual pada harga lebih tinggi (tiada harga kawalan) berbanding telur biasa gred A, B dan C yang menjadi tumpuan pengguna.

"Bekalan telur ayam di Sarawak mencukupi. Pada November 2022 sahaja sebanyak 33 juta biji telur gred A,B dan C dihasilkan oleh 12 pengeluar utama di negeri ini (lapan di Kuching, tiga di Sibu dan satu di Bintulu).

"Namun kita harus ingat, peruncit atau peniaga kecil juga membeli (telur ayam) dalam jumlah yang banyak, itu antara punca kekurangan bekalan. 

"Jadi kita menasihatkan peruncit atau pasar raya menjual pelbagai variasi telur iaitu telur biasa dan Omega, tetapi sudah tentu kita menekankan kepada pasar raya agar menjual telur biasa (gred A,B dan C)," ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan tinjauan mesra sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baharu Cina 2023 di Boulevard Hypermarket Kuching, hari ini.

Matthew berkata, harga runcit telur ayam biasa yang telah diwartakan ialah RM0.47 sen sebiji bagi gred A, RM0.45 sen bagi gred B dan RM0.43 sen untuk gred C (bagi daerah Kuching, Bau, Lundu, Serian, Simunjan, Samarahan dan Asajaya).

"Kalau ada terjumpa telur ayam biasa yang jual lebih pada harga maksimum ini. Sila laporkan kepada KPDN... Setakat ini kita belum menerima sebarang aduan," katanya.

Hadir Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN Sarawak Peter J. Berinus Agang Ketua Pegawai Operasi Boulevard Hypermarket (Kuching) Sdn Bhd James Wong, Pengurus Boulevard Hypermarket (Kuching) Sdn Bhd Ariston Frank Limping serta pegawai-pegawai kanan KPDN Sarawak.
 

  • oleh
  • Advertisement