Anda di sini

FMM saran Majlis Penasihat Buruh Sabah segera ditubuhkan

Advertisement
JAMES HA
JAMES HA

KOTA KINABALU: Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia (FMM) menyambut baik cadangan untuk menubuhkan Majlis Penasihat Buruh Sabah (SLAC) bagi menangani isu buruh di negeri ini seperti yang diutarakan oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia Mustapha Sakmud baru-baru ini.

Pengerusi FMM Cawangan Sabah James Ha Hew Yew berkata, sudah tiba masanya untuk kerajaan negeri menubuhkan SLAC yang disifatkan mungkin berperanan lebih penting sekarang berbanding sebelum ini.

Katanya penubuhan majlis berkenaan harus dilaksanakan segera, memandangkan Akta Pekerjaan (Pindaan) 2022 kini dikuatkuasakan di Semenanjung yang akan memberi kepada kesan Ordinan Buruh Sabah.

Menurutnya, dalam konteks Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 2021-2025, SLAC boleh membimbing pelan pemulihan ekonomi dan pekerjaan dengan penyelesaian yang inklusif serta memberi manfaat kepada negeri.

"Dialog tiga pihak adalah asas kepada buruh dan pekerjaan. Apabila dialog berlaku dengan pasti dan konsisten, ia boleh memberi sumbangan besar ke arah mencapai status sebagai negeri berpendapatan tinggi dan mewujudkan pekerjaan yang mampan untuk belia tempatan.

"Kita mengambil contoh pelaksanaan Perintah Gaji Minimum yang terakhir pada 2022,  kekurangan dialog yang berkesan dengan kerajaan Persekutuan menyebabkan banyak pengeluar tempatan terutamanya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mengalami tambahan bebanan berat.

"Ia melibatkan bebanan dari beberapa ratus hingga mencapai ribuan ringgit sebulan. Justeru, dengan adanya SLAC ia boleh memainkan peranan penting untuk menasihati jemaah menteri negeri mengenai semua isu berkaitan buruh dan pekerjaan," jelasnya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata,  isu yang berkaitan buruh dan pekerjaan termasuk pasaran buruh, pembangunan sumber manusia, kenaikan pangkat dan perundingan kolektif, dan kajian semula operasi dan penguatkuasaan undang-undang berkaitan dengan pekerjaan.

Baru-baru ini, Mustapha dipetik berkata, penubuhan SLAC akan memastikan segala undang-undang buruh sedia ada dapat dilaksana dengan lebih berkesan.

Kementeriannya juga sentiasa terbuka dalam membincangkan perkara itu bagi menambah baik sekali gus memperkasa lagi pelaksanaan undang-undang berkaitan buruh di negeri ini.

Menurutnya, sehingga kini majlis penasihat berkenaan masih dalam peringkat cadangan awal namun akan dijayakan bagi memastikan ekonomi Sabah berkembang dengan seimbang.
 

  • oleh
  • Advertisement