Anda di sini

Prinsip Sastera Pelancongan dalam Kumpulan Puisi Telok Melano, Stanza Terakhir Seorang Lelaki

Advertisement
 

(Bahagian 1)
Oleh: Ja’afar Haji Hamdan

Apabila memperkatakan tentang sastera dalam aspek pelancongan, pelbagai tanggapan dan pandangan akan lebih cenderung untuk memperlihatkan lokasi, tempat dan panorama yang boleh dijelaskan secara objektif. Tanggapan dan pandangan ini merumitkan peranan sastera sebagai satu prinsip baharu dalam menggauli pemaknaan terhadap nilai pelancongan itu sendiri.
    Walau bagaimanapun, tanggapan dan pandangan ini telah membuka beberapa penelitian untuk memastikan prinsip sastera atau prinsip pelancongan dapat disatukan dengan jelas. Hal ini penting untuk membezakan nilai sastera dengan nilai pelancongan yang saling melengkapi sebagai satu prinsip baharu yang lebih ideal dan signifikan dengan pemahaman kita.
    Ada dua situasi yang perlu diperjelas apabila memperkatakan tentang sastera dan pelancongan. Sastera pelancongan dan pelancongan sastera merupakan dua situasi yang berbeza dalam pengertian prinsipnya. Hal ini telah dijadikan resolusi dalam Seminar Sastera Borneo 2022 anjuran Badan Keluarga, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak yang berlangsung selama tiga hari, bermula dari 21 hingga 23 Oktober 2022. Seminar yang bertemakan “Pemerkasaan Pelancongan Melalui Sastera” ini telah diadakan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak. 
    Sastera pelancongan atau pelancongan sastera ditakrifkan sebagai pelancongan yang mempunyai nilai intelektual dengan memaparkan nilai budaya berdasarkan kearifan tempatan serta berteraskan pemodenan yang bersifat adaptasi dengan persekitaran untuk disesuaikan dengan akal budi. Maka sastera pelancongan atau pelancongan sastera mempunyai arah yang sama tetapi berbeza cara mendefinisikannya dalam konteks pelancongan.
    Pelancongan sastera bermaksud pelancongan yang memanfaatkan bahan penulisan, inti pati karyanya dan tokoh yang menulisnya untuk dimanfaatkan sebagai landasan pelancongan. Bahan penulisan, inti pati karya dan ketokohan ini telah sedia sohor untuk dijadikan hal-hal yang menarik pelancong untuk meneroka dan mengalami sama ada peristiwa yang terdapat dalam karya atau peristiwa yang dilalui oleh penulis. 
    Namun, sastera pelancongan pula bermaksud sebagai bahan penulisan dalam kesusasteraan yang terhasil melalui penyelidikan, kajian, penelitian, penerokaan dan penghayatan terhadap suasana, tempat, lokasi dan peristiwa sehingga membawa kepada pemikiran pelancongan itu sendiri secara sedar ataupun tidak.
    Prinsip sastera pelancongan inilah yang tersadur dalam karya terbaharu Dahiri Saini melalui kumpulan sajaknya yang berjudul Telok Melano, Stanza Terakhir Seorang Lelaki terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2022. Kumpulan sajak ini hanya mengandungi 50 buah sajak. Tetapi daripada 50 buah sajak tersebut, 34 buah sajak bercerita tentang Telok Melano. Kumpulan sajak ini mempunyai pelbagai perspektif penceritaan tentang Telok Melano dengan dibantu kaedah penceritaannya melalui beberapa keping gambar yang seakan-akan signifikan dengan sajak-sajak tersebut.
     Jelas, konsep yang menelusuri kumpulan sajak ini boleh dikategorikan sebagai bahan sastera pelancongan melalui tiga prinsip. Pertama, prinsip sastera pelancongan mengutamakan pemaparan tempat atau lokasi atau peristiwa sebagai bahan naratif yang diceritakan. Kedua, ada unsur penelitian, kajian dan penyelidikan secara implisit yang disesuaikan dengan nada dan gaya penulisannya dan ketiga, penerokaan persekitarannya sebagai sumber inspirasi pengkaryaannya.
    Telok Melano sebagai sumber pengkaryaan Dahiri Saini sebenarnya merupakan lokasi atau kawasan yang paling hujung di negeri Sarawak dan dianggap permulaan perkiraan jarak bagi projek Lebuh Raya Pan Borneo. Secara umumnya, masyarakat mengetahui kewujudan Telok Melano sebelum adanya projek Lebuh Raya Pan Borneo. Namun, agak sukar untuk ke lokasi berkenaan kerana tiadanya jalan darat.
    Tetapi dengan kewujudan projek Lebuh Raya Pan Borneo ini pada tahun 2015 dan pembukaan jalan Telok Melano-Sematan pada Januari 2019, maka Telok Melano semakin dikenali dan mudah dikunjungi. Projek Lebuh Raya Pan Borneo merupakan sebuah projek mega di bawah Rancangan Malaysia ke-11. Jajaran lebuh raya ini bermula dari Tawau (Sabah) hingga ke Telok Melano (Sarawak). 
    Menurut Chong Shin, Dilah Tuah dan Yusriadi melalui makalah yang berjudul “Impak Pembukaan Jajaran Sematan-Telok Melano ke atas Sosiobudaya dan Sosioekonomi Masyarakat di Telok Melano”, siaran dalam jurnal Malaysian Jurnal of Society and Space keluaran 28 Februari 2022, jelas memberi dapatan yang objektif tentang keberadaan Telok Melano dalam projek tersebut. Walaupun makalah tersebut tertumpu pada analisis impak pembukaan jajaran dalam aspek sosiobudaya dan sosioekonomi penduduk di Telok Melano, namun secara tidak langsung telah ditemui dapatan yang berkait langsung dengan kesan pembudayaan yang terarah kepada pelancongan.
    Hasil kajian mereka juga mendapati bahawa pembukaan jajaran ini telah mempertingkatkan infrastruktur asas, terutamanya bekalan elektrik dan air, serta sekali gus membangunkan industri ekopelancongan di kawasan Telok Melano. Dalilnya dapat ditinjau pada kajian kes terhadap program perusahaan inap desa di kawasan ini. Sesungguhnya, perusahaan ini telah mengalami transformasi yang drastik dengan kemajuan kemudahan asas ini. 
    Sebelum pembukaan jajaran Lebuh Raya Pan Borneo yang menghubungkan Sematan dengan Telok Melano, penduduk Telok Melano tinggal terasing daripada masyarakat lain di Sarawak. Kawasan ini hanya dapat dicapai dengan menaiki bot dari jeti Sematan - pekan yang terhujung di Barat Daya Sarawak. Dari Sematan, masa yang diperlukan untuk sampai ke Telok Melano ialah kira-kira 2 jam perjalanan. Pada musim tengkujuh (iaitu Oktober hingga Februari), kawasan ini terputus hubungan dengan dunia luar kerana arus laut yang deras dan ombak tinggi yang membahayakan bot-bot. Kesukaran pengangkutan telah mengakibatkan Telok Melano kekal sebagai sebuah petempatan luar bandar yang serba kurang dari aspek infrastruktur asas. 
    Yang Berhormat Dato Seri Haji Fadillah Yusof, selaku Menteri kerja Raya dalam akhbar Utusan Malaysia pada 10 September 2022 menegaskan bahawa Telok Melano berpotensi tinggi untuk menjadi pusat pelancongan utama di Sarawak dengan keindahan alam semula jadi dan kedudukannya yang berada di penghujung Sarawak. Begitu juga Yang Berhormat Dato Sri Hajah Nancy Shukri, selaku Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dalam sebuah akhbar tempatan pada 11 Disember 2021 menegaskan bahawa kawasan Telok Melano, akan menumpukan aspek pelancongan yang bersifat ekopelancongan. Tambah beliau, Telok Melano mempunyai banyak potensi dengan produk-produk seperti rumah Inap Desa, produk kraf tangan, kawasan untuk mendaki serta produk buah-buahan. 

 


    Berdasarkan dapatan dan pandangan tersebut, Dahiri Saini hadir ke Telok Melano untuk merasai suasananya dan menzahirkan pengamatannya serta penerokaannya mengenai Telok Melano sehingga pengalaman itu terangkum dalam kumpulan sajak terbaharunya, iaitu Telok Melano, Stanza Terakhir Seorang Lelaki. 
    Apakah prinsip sastera pelancongan yang cuba diketengahkan oleh beliau? Apakah ranah sastera pelancongan yang paling ideal menjadi tumpuan beliau?
    Kalau diteliti secara umum, kata kunci pada kumpulan sajak ini ialah “stanza terakhir” bagi seorang lelaki. Adakah “seorang lelaki” itu merupakan dirinya atau dikaitkan dengan A. Samad Said yang pernah menceritakan tentang Telok Melano dalam karyanya, Lantai T. Pinkie? Persoalan inilah yang cuba sama-sama kita teliti dalam setiap bait sajaknya.
    Walau bagaimanapun, penelitian ringkas ini hanya akan memperkatakan secara literal tanpa ada sandaran atau penerapan secara eksklusif berdasarkan teori untuk pembuktian kerana prinsip sastera pelancongan hanya bersifat memanfaatkan persekitaran dan panoramanya sebagai kata imej atau diksi citra untuk membina cerita dalam sajaknya. 
    Maka, penelitian ini nanti hanya mencakupi sajak-sajak yang berjudul “Telok Melano” dengan sisi-sisi yang mendukung prinsip sastera pelancongan itu sendiri. Seperti yang telah dijelaskan pada awal penelitian ini, terdapat 34 buah sajak dengan dasar cerita melalui kata kunci “Telok Melano”. Namun cakupan ini dibahagikan kepada tiga bahagian berdasarkan prinsip sastera pelancongan itu sendiri.
    Pertama, kita akan meneliti sajak-sajak yang memenuhi prinsip sastera pelancongan yang mengutamakan pemaparan tempat atau lokasi sebagai bahan naratif yang diceritakan. Elemen ini akan menyentuh peristiwa setempat dan sesekali memperlihatkan sisi-sisi sosiobudaya secara langsung atau tidak langsung. Antara sajak yang boleh dikaitkan dengan sisi ini ialah, Telok Melano (I), Telok Melano (VI), Telok Melano (XIX), Telok Melano (XXIV) dan Telok Melano (XXV).
    Sebagai contoh, dalam Telok Melano (I), ungkapan permulaan sudah menitip suasana tentang Telok Melano melalui bait-bait kata “menjejaki basahan pasirmu...,/ada yang bergetaran menyulami...”. 
    Dahiri Saini mempersoalkan cara beliau “melihat” dan orang lain “melihat” tentang Telok Melano. Kecenderungan Dahiri Saini yang menyembunyikan tafsir ini terungkap dalam rangkap ketiga sajak Telok Melano (I) ini;

Telok Melano, aku sedar kita telah dipertemukan
dalam definisi yang berbeza sekali
atau ada kebarangkalian juga kita sengaja
diberi kesempatan kecil pertengahan Julai ini
atau kita masih menginginkan waktu-waktu
yang terlepas beberapa musim mendatang;

    Melalui sajak Telok Melano (VI), Dahiri Saini mengemukakan nama tempat sebagai satu kiasan terhadap kaitan sebuah naratif dengan menamakan Tanjung Datu sebagai “...tanjung keramat...”. Berbeza pula dengan ungkapannya dalam Telok Melano (XIX) yang dengan jelas menamakan persempadanan “...temajuk Kalimantan...” sebagai penyerapan proses sosiobudaya “orang luar”” sehingga kesedapan bakso di situ menjadi popular.
    Dahiri juga memberi gambaran Telok Melano sebagai seorang “perempuan” melalui sajak Telok Melano (XXIV) sebagai lokasi yang pernah mencetuskan cinta sehingga mengungkapkan “...antara agam tanjung dan belahan pulau-pulau, sekitar itu seperti panahan gelora...” sebagai perasaan yang hadir apabila berada di situ. Perasaan ini dilanjutkan melalui sajak Telok Melano (XXV) pada rangkap terakhir untuk datang kembali ke Telok Melano;

...apa yang menyedarkannya dia terlalu rindu
untuk melafazkan kata keramat itu
bahawa dia akan datang
untuk kesekian kalinya

    Seterusnya, prinsip kedua sastera pelancongan mengehendaki karya yang terhasil mempunyai unsur penelitian, kajian dan penyelidikan secara implisit yang disesuaikan dengan nada dan gaya kepengarangannya. Dalam hal ini, Dahiri Saini amat berjaya mengetengahkan unsur-unsur dalam karya Lantai T. Pinkie oleh A. Samad Said sebagai medium untuk dikaitkan dengan Telok Melano yang menjadi sebahagian latar dalam Lantai T. Pinkie.
    Secara umumnya, sajak-sajak yang termuat dalam kumpulan sajak ini seakan-akan mengutamakan nuansa karya Lantai T. Pinkie dengan pemikiran Dahiri Saini tentang kesan latar dan peristiwa yang berlaku di Telok Melano. Justeru, Dahiri Saini memanfaatkan situasi itu dengan membina kaitan yang menjadi persoalan naratifnya tentang rasa – sebuah percintaan dan pengorbanan.
Unsur-unsur tersebut yang mendukung prinsip sastera pelancongan jelas termuat dalam sajak Telok Melano (II), Telok Melano (IV), Telok Melano (VI), Telok Melano (VII), Telok Melano (XI), Telok Melano (XVI), Telok Melano (XX), Telok Melano (XXIII), Telok Melano (XXVIII) dan Telok Melano (XXXI). Paling ketara ialah penggunaan nama watak, pakaian dan perlambangan yang menjurus dalam naratif Lantai T. Pinkie. Antaranya;

    Pinkie, masihkah kau ingat,
    kita susuri lembah keramat ini
    tangan kita saling berpaut
    dan nafas kita bersatu
    dalam deru angin dari laut
    kita menjadi satu
    untuk seketika
    menerokai warna rembulan
    yang mengeluh
    tentang kemasinan angin
    yang menjamah jejak kita?                                           (Telok Melano II)

Mencari Pinkie
persis mencari makna kedalaman
cinta yang terkubur di lautan benua
    tanpa hujan
    tanpa angin
    tanpa matahari
    tanpa rembulan
    tanpa segala-galanya
yang ada hanya biasan susuk     
perempuan bernama Pinkie                                              (Telok Melano IV)
...bertemankan lirih irama akordion 
yang dimainkan muhairi

.......................................................
...dan ketika aku menjelmakan 
peran Muhairi mencari kekasihnya                                (Telok Melano VI)

...menitiskan luahan Nyai Sunarti Renko
yang dipeluk rindunya
pada Van Klinkert Delarosa
memenuhi emosi                                                                   (Telok Melano VII)

Pinkie, ke mana kita menghalakan pandangan
jika tidak ke cakerawala nan membiru                          (Telok Melano XI)

detik yang paling menggembirakan aku
tatkala dikau mengena kebaya merah jambu
dan tudung keringkam hitam di kepalamu...                (Telok Melano XVI)

-Catatan 1965 itu dikau tidak pernah berdusta1-
Muhairi merintih pada lembayung
mengatakan kasihnya pada Pinkie
dan pantai ini takkan goyah
meski landai pantai ini
berubah kelokan
dek monsun                                                                         (Telok Melano XXIII)
    -Nyai, tarimu seghairah lautan
        suaramu selunak rembas pawana
        ......................................................
        kuutuskan lembaran rindu     ini, Pinkie
        tapi jemuku pada rembulan
        bukan tangisan meremukkan atma
    -Aku, Muhairi.                                                                (Telok Melano XXVIII)

    Daku ingin beristirahat sepanjang pantai ini, Pinkie
    ................................................................................
    Maafkan aku Pinkie, kita tidak dapat dipertemukan
    ................................................................................
    tapi gema asyik nyali akordian Muhairi itu
    terus menggamit
    ................................................................................
    dari rentasan konfrontasi yang sarat tentang nestapa
    bukan kita saja Pinkie, tapi mereka yang terluka
    ................................................................................
    Maafkan aku Pinkie, 
    kita terpisah jauh dari segalanya                                (Telok Melano XXXI)

 
 
Advertisement