Anda di sini

Ekonomi dipacu hidrogen berdaya maju

Advertisement

Usaha membangunkannya diyakini dapat dicapai, permintaan terhadap hidrogen dijangka berkembang 5-10 tahun akan datang

 Abang Johari menunjukkan tanda bagus ketika menaiki kenderaan Toyota Mirai pada majlis penyerahan kenderaan itu hari ini. - Gambar Roystein Emmor
GUNA HIDROGEN: Abang Johari menunjukkan tanda bagus ketika menaiki kenderaan Toyota Mirai pada majlis penyerahan kenderaan itu hari ini. - Gambar Roystein Emmor

KUCHING: Usaha Sarawak untuk membangunkan ekonomi dipacu hidrogen diyakini dapat dicapai memandangkan permintaan terhadap sumber tenaga bersih itu dijangka berkembang dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, negeri ini mempunyai banyak sumber tenaga diperbaharui termasuk hidrogen.

Dengan sumber tenaga itu katanya, Sarawak akan mendapat manfaat terutama apabila kos pengeluaran hidrogen menurun berikutan pengeluaran elektrolizer secara besar-besaran.

“Pada masa ini proses menjana hidrogen agak mahal tetapi ada kemungkinan kos akan berkurangan ekoran pengeluaran besar-besaran daripada elektrolizer dalam tempoh lima hingga 10 tahun akan datang. 

“Saya mungkin betul atau salah namun jika ia berlaku, itulah kunci yang menukar pengeluaran hidrogen. 

“Ini kerana melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) dilakukan sekarang, proses elektrolizer boleh menjadi lebih murah dan sistem ini akan menukar air kepada hidrogen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Kenderaan Toyota Mirai daripada UMW Toyota Motor di Menara Pelita di sini hari ini.

Menjelas lanjut Abang Johari berkata, para saintis kini sedang mengkaji pengeluaran besar-besaran elektrolizer yang seterusnya akan membawa kepada skala ekonomi.

Sebagai contoh katanya, pada zaman awal teknologi maklumat (IT) di mana komputer mahal dan sebesar almari namun hari ini, data boleh disimpan dalam komputer yang lebih kecil dan lebih murah.

"Oleh itu, ini bermakna elektrolizer pada masa dwpan akan lebih murah dan teknologi untuk sistem akan berubah.

“Sekali gus akan memberi manfaat bukan sahaja kepada ekonomi bahkan dapat menangani isu iklim dengan mengawal pelepasan karbon yang menyumbang kepada pemanasan global,” katanya.

Mengenai Toyota Mirai, Abang Johari menyifatkan kenderaan sel bahan api hidrogen itu sebagai salah satu evolusi dalam industri kereta.

“Ini antara usaha kita di peringkat negeri untuk menggunakan tenaga hijau iaitu hidrogen. Di Sarawak, kita mempunyai beberapa kenderaan yang digerakkan oleh kuasa hidrogen seperti Hyundai (Nexo) serta bas berkuasa hidrogen. Kini kenderaan hidrogen terbaru ialah Toyota Mirai.

“Kereta berteknologi tinggi ini boleh bergerak menggunakan satu tangki hidrogen untuk 1,000km iaitu jarak dari Kuching hingga ke Limbang,” katanya sambil menambah bahawa Mirai hanya mengambil masa tiga hingga empat minit untuk mengisi hidrogen.

Beliau berkata, Sarawak telah maju ke hadapan dalam pelaksanaan tenaga hijau melalui pelbagai inisiatif yang turut merangkumi pengeluaran hidrogen melalui lojinya sendiri.

“Sarawak menuju ke arah ini kerana kita mempunyai sumber.

“Jika Sarawak berjaya, Malaysia akan berjaya. Sebab itu Sarawak mesti diiktiraf sebagai wilayah,” katanya.

Terdahulu, UMW Toyota Motor semalam menyerahkan satu unit Toyota Mirai kepada Abang Johari serta empat unit Toyota Mirai kepada SEDC Energy.

Ia menandakan komitmen Toyota terhadap neutral karbon menjelang 2050 dan Inisiatif Mobiliti Hijau dan Tenaga Hijau Sarawak.

Toyota dalam kenyataannya berkata Mirai yang bermaksud masa depan dalam bahasa Jepun, mewakili titik perubahan bagi industri automotif, menawarkan alternatif yang lebih bersih dan hijau kepada pengguna.

Dengan rangkaian pelayaran (kenderaan) sedan konvensional dan keupayaan untuk mengisi minyak dalam masa lima minit, Toyota Mirai menggunakan sel bahan api hidrogen dengan potensi sebagai kenderaan mesra alam yang hanya mengeluarkan air.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Datuk Seri Huang Tiong Sii, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Husain, Pengerusi Kumpulan UMW Holdings Berhad Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor Takashi Obata.

  • oleh
  • Advertisement