Anda di sini

Pusat REDEEMS berpotensi menjadi pusat muzik blues

Advertisement
Henry ketika ditemui media selepas merasmikan acara ratu cantik Dayung Sikora di Pusat REDEEMS di Singai, Bau pada malam Jumaat. -Gambar Chimon Upon
Henry ketika ditemui media selepas merasmikan acara ratu cantik Dayung Sikora di Pusat REDEEMS di Singai, Bau pada malam Jumaat. -Gambar Chimon Upon

KUCHING: Pusat Pertubuhan Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Singai Sarawak (REDEEMS) di Bau berpotensi menjadi pusat muzik blues di negeri ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Henry Harry Jinep.

Beliau berkata demikian berikutan cadangan beberapa individu menganjurkan festival berkenaan di Pusat REDEEMS.

"Jika di Kampung Budaya Sarawak ada Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RMWF) di Miri serta di Grand Margherita Kuching ada Festival Jazz, di Siniawan pula diadakan Festival Muzik Country, maka di Singai kita akan mengadakan Festival Muzik Blues.

"Menerusi cadangan untuk mengadakan muzik blues, Pusat REDEEMS boleh menjadi pusat untuk festival berkenaan.

"Saya akan cuba menghubungkan individu yang boleh membantu mempromosikan idea dalam memulakan usaha ini," katanya ketika merasmikan acara ratu cantik Dayung Sikora di Pusat REDEEMS di Singai, Bau dekat sini malam Jumaat.

Terdahulu, Henry yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan ll menyempurnakan pertandingan ratu cantik di Pusat REDEEMS.

Ia merupakan sebahagian daripada program Pusat REDEEMS sempena Sambutan ulang tahun ke-25 serta pembukaan rasmi Perkampungan Budaya Bidayuh (BCV).

Ketika ditemui pemberita selepas merasmikan pertandingan itu, Henry berkata Pusat REDEEMS adalah tempat terbaik untuk menjadi pusat muzik.

Ini kerana katanya, ia mempunyai ruang yang luas, banyak kemudahan dan ia terletak tidak jauh dari bandar Bau dan Kuching.

"Jika kita boleh mengadakan muzik blues atau jazz, saya serahkan kepada pihak pengurusan untuk berbincang dengan REDEEMS," tambahnya.
 

Advertisement