Anda di sini

Sarang buaya di Taman Malihah: 4 das tembakan dilepaskan, buaya cuba serang anggota

Advertisement
Anggota polis terpaksa melepaskan empat das tembakan.
Anggota polis meninjau keadaan di kawasan sarang buaya di Taman Malihah, Matang.

KUCHING: Anggota dari Balai Polis Batu Kawa terpaksa melepaskan empat das tembakan ke arah seekor buaya yang dilaporkan cuba membaham mereka pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata kejadian berlaku di kawasan tebing sebuah kolam terbiar di Taman Malihah, Matang sekitar jam 3.30 petang.

Menurutnya, anggota terbabit ditugaskan ke lokasi kejadian untuk menjaga keselamatan selepas menerima laporan penemuan sarang buaya.

"Dilaporkan seekor buaya sepanjang kira-kira 14 kaki muncul dari dalam kolam tersebut terus naik ke tebing dan cuba menyerang anggota terbabit.

"Tiga das tembakan dilepaskan ke arah mulut dan kepala buaya tersebut pada jarak enam kaki serta satu lagi das tembakan dilepaskan ke arah kepalanya sebelum buaya tersebut masuk semula ke dalam kolam," katanya menerusi satu kenyataan.

Kesemua anggota dan kakitangan Sarawak Forestry Corporation (SFC) yang menyertai operasi tersebut dilaporkan selamat.

"Orang awam juga dilarang untuk ke lokasi kejadian atas faktor keselamatan," katanya.

Operasi memburu buaya tersebut akan diteruskan hari ini.
 

  • oleh
  • Advertisement