Anda di sini

Syarikat keluar kuetiau mengandungi asid benzoik didenda RM10,000 

Advertisement
 

KUCHING: Sebuah syarikat tempatan beroperasi di sini didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret semalam atas pertuduhan mengeluarkan mi kuetiau yang mengandungi asid benzoik dalam kadar 2,416mg/kg pada April 2022.

Majistret Syarifah Fatimah Azura Wan Ali menjatuhkan hukuman terhadap syarikat itu yang diwakili wakilnya, selepas dia mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan kepadanya. 

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut pada 20 April 2022.

Menurut fakta kes, beberapa pegawai penguat kuasa Unit Keselamatan dan Kualiti Makanan daripada Pejabat Kesihatan Bahagian (PKB) Kuching mengambil sampel makanan kuetiau yang dijual di premis makanan di Jalan Stutong Baru di sini.  

Sampel kuetiau tersebut kemudian dianalisis di Makmal Keselamatan dan Kualiti Makanan, Jalan Tun Abang Haji Openg di sini.

Ia seterusnya didapati mengandungi asid benzoik dalam kadar 2,416 mg/kg iaitu melebihi standard maksimum yang ditetapkan di bawah Peraturan 19(2)(b)(ii) Peraturan-Peraturan Makanan 1985 iaitu 1,000 mg/kg.

Hasil siasatan lanjut oleh Unit Inspektorat dan Perundangan PKB Kuching mendapati produk kuetiau itu telah dikeluarkan oleh sebuah syarikat tempatan yang beroperasi di sini. 

Syarikat tempatan tersebut seterusnya didakwa dan disabitkan mengikut Seksyen 13B(1) yang dibaca bersama Seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983. 

Sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara untuk tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa PKB Muhammad Qamarulariffin memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peniaga lain, selain mengambil kira dasar kepentingan kesihatan awam.

Menurutnya juga, asid benzoik merupakan bahan pengawet dan jika ditambah di dalam makanan melebihi standard maksimum yang dibenarkan, ia boleh memberi kesan kemudaratan serius terhadap kesihatan. 
 

Advertisement