Anda di sini

Persoalan Matematik, Serpihan Seramik dan Kintsugi

Advertisement
 


Oleh Abang Median Abang Said


LEWAT bulan Oktober, setelah Wabak Katak dapat dihapuskan pada fasa endemik, ketika aku berdiri di sebuah lorong yang terpencil dan sunyi, mukaku telah diserkup dengan guni dan tubuhku diheret ke dalam sebuah van berwarna biru. Siku terasa perit bergesel dengan jalan aspal yang kasar. Aku juga diperlakukan dengan kasar – lebih kasar daripada jalan aspal itu. Aku cuba berteriak tetapi perutku ditendang keras. Lepas itu tubuhku dilemparkan ke dalam van. Kepalaku terhantuk pada dinding atau kaki kerusi. Selepas itu, aku tidak sedarkan diri. Aku diberikan suntikan. Mungkinkah dengan cecair Propofol yang telah menyebabkan penyanyi K-pop didenda RM3.7 juta kerana memiliki ubat penenang itu secara haram? Tatkala aku membuka mata, aku sudah berada di sebuah bilik pengap yang tidak mempunyai tingkap. Pintu terkunci. Tidak diketahui cuaca – panas atau hujan. Tidak diketahui masa – siang atau malam. Semuanya sama. Tidak ada beza. Terdapat 4 kamera CCTV dalam bilik tersebut. Perlakuanku pastinya diperhatikan.  
    Adakah aku diculik ? Untuk apa ? Aku bukan ahli politik yang mempunyai harta jutaan ringgit. Aku juga bukan usahawan berjaya. Yah, aku cuma ahli matematik yang turut berminat dalam kesenian! Itu sahaja. Jikalau ada pun perniagaan yang aku jalankan, itu hanya secara kecil-kecilan. Ada kalanya untung dan selalu juga mengalami kerugian dalam ketidaktentuan ekonomi dunia yang kian menguncup berselari dengan ekonomi Amerika. Jangkaan itu dibuat oleh para pegawai Deutsche Bank, Goldman Sachs, dan Fed. Malah lonjakan harga komoditi dan keputusan Fed untuk menaikkan kadar faedah dan perang di Ukraine telah mendorong keluk hasil mendatar sejak belakangan ini.
    Di atas meja terdapat sampul tebal berwarna biru. Aku buka sampul tersebut. Mataku terbelalak. Terdapat wang di dalamnya. Semuanya dalam kepingan RM1000. Aku takut mengiranya. 
    Seorang lelaki tua dengan wajah sedikit cengkung, berambut putih dan bertongkat masuk ke dalam bilik kurunganku. Dia ditemani seorang lelaki berbadan tegap dengan misai yang menampilkan kebengisan. Lelaki muda itu yang menjadi jurucakap.
Tebakanku ada asasnya. Tidak kesasar. Aku diminta untuk menyelesaikan masalah matematik. Aku tidak memahami bagaimana persoalan angka menjadi sesuatu yang subjektif. Angka tidak pernah menipu. Angka membentuk data. Angka wujud dalam pola yang berbentuk objektif. Angka 4 tetap akan mewakili 4. Matematik dan sains berbentuk logikal. Tidak boleh lebih daripada itu. Mengapa perlu aku diculik dan diheret dalam persoalan ini? 
    Susah nak percaya dengan plot penculikanku. Kenapa aku – seorang profesor matematik – diupah untuk menyelesaikan masalah matematik yang hanya melibatkan operasi tambah. Permasalahannya mudah. Masalah itu boleh diselesaikan oleh murid sekolah rendah. 
    “Masalah matematik ini rumit seperti lukisan abstrak yang sukar difahami. Masalah ini bukan seperti operasi tambah biasa.” Dahi lelaki muda itu berkerut dan memicingkan mata. Dia menarik nafas, menahannya seketika … hingga terasa menyendat dada. Dia memberikan masalah matematik itu kepada aku: 82 + 33, mengapa jawapannya bukan 115. 
    Adakah aku perlu membuat rumus ?
    Aku menegakkan tubuh. Telinga terasa bergerak sedikit. Tanganku menggenggam rambut yang sedikit. Mengapa tidak ada nombor yang tetap? Bukankah jawapannya 115 – mustahil ada angka atau jawapan yang lain. 
    Lelaki bertubuh sasa itu mengambil kotak berwarna kuning dan bersaiz 6 kaki x 4 kaki x 3 kaki yang dibawanya ke dalam bilik tersebut. Lelaki tua yang hadir bersama-sama dengannya hanya duduk tanpa berkata apa-apa. Sesekali dia hanya mengangguk. 
    Di dalam kotak tersebut ada serpihan vas yang pecah yang ditelungkupkan di atas sofa. Fikiranku masih menerawang – belum dapat mengaitkan antara permasalahan nombor dan serpihan vas yang dilonggokkan di hadapanku. Sepihan vas itu hanya mempunyai dua warna – biru dan merah. 
    Menurut lelaki muda itu, vas itu buatan abad ke-18. Katanya lagi, vas itu berasal dari Selatan China. Vas setinggi 60 cm ini dibuat untuk keluarga Kaisar Qianlong. Bahagian dasar vas menunjukkan 5 karakter khas periode Qianlong yang berkuasa pada tahun 1736-1795. Pada bahagian tubuh vas itu ada simbol perahu yang berwarna emas. Ada pandangan lain mengatakan vas itu berasal dari Sriwijaya. 
    “Vas itu telah pecah apabila terhempas di atas lantai pada tahun 2020. Semuanya berlaku dengan begitu pantas. Terdapat 115 serpihan vas itu yang jikalau disusun pasti akan membentuk rupa asalnya. Tetapi ada satu ruang yang kosong hingga bentuk vas itu tidak lengkap sedangkan semua serpihan itu mencukupi. Persoalan itulah yang perlu diselesaikan.”
    Aku berdehem menelan air liur yang terasa kering dalam rengkung. Tugas itu terasa menghempap pundak. Terasa berpinar dan berpendar mata. 
    “Vas yang pecah itu tidak boleh dibuang begitu sahaja. Kita tidak mahu dikunyah kesal. Kami yakin, kau mempunyai kepakaran mencantumkan yang pecah menjadi utuh kembali dan boleh menjadi lebih indah daripada sebelumnya. Bukankah moyangmu mempelajari kintsugi dari Jepun suatu ketika dahulu?” Tiba-tiba lelaki tua itu berbicara. Mulutnya tidak kelihatan – ditutupi oleh misainya yang lebat hingga bergabung dengan janggut yang memutih. 
    Aku melongo – latar belakangku telah dipantau dan diselidik. Hobiku dalam bidang seni bukan lagi satu rahsia. Aku memang mengetahui sejarah tentang kintsugi:  Seorang syogun bernama Ashikaga Yoshimasa diriwayatkan telah mengirimkan sebuah cawan pecah kembali ke China untuk diperbaiki. Ketika cawan itu dikembalikan, Yoshimasa kecewa melihat cawan tersebut disatukan menggunakan pengokot logam. Hal tersebut memotivasi para pengrajin untuk mencari cara lain untuk memperbaiki barang, tetapi juga harus tampak cantik dan memanjakan mata. Dari situlah kintsugi lahir. 
    Aku masih ingat kata-kata datukku suatu ketika dahulu, “Kita bukan hanya perlu menyatukan sesuatu yang telah pecah. Sesuatu yang telah pecah, strukturnya memang tidak akan pulih dan kembali seperti sedia kata. Pasti ada kesannya. Tapi kita belajar tentang filosofi Jepun tentang wabi-sabi, yakni melihat keindahan dari yang tidak sempurna.”
    Kenangan itu beralun, menolak dan melonjakkan semangatku pada malam itu – ah, itulah tanggapanku kerana aku masih tidak mengetahui masa! Aku perlu menyusun 82 serpihan vas berwarna merah dengan 33 serpihan berwarna biru dengan menggunakan tiga teknik, iaitu teknik hibi, kake no kintsugi rei dan yobitsugi. 

 

Di dalam bilikku telah disediakan air kopi untuk aku melawan kantuk. Dengan penuh teliti aku menggunakan teknik hibi dengan menggunakan getah untuk menyatukan dan mengisi celah-celah pecahan barang. Kemudian aku menggabungkan serpihan vas itu menggunakan teknik kake no kintsugi rei atau piece method. Dengan menggunakan getah, aku mengisi bahagian pecahan atau fragmen yang hilang. Akhir sekali, aku menggunakan teknik yobitsugi atau joint-call yang merupakan teknik menyatukan fragmen daripada barang lain untuk menggantikan bahagian yang hilang daripada barang yang ingin diperbaiki menggunakan campuran pernis bubuk emas sehingga menciptakan sebuah karya seni dengan nilai yang baru.
“Kau adalah ahli matematik yang terpilih. Angka tidak hanya hadir sebagai angka tetapi juga kepada nilai dan kemanusiaan. Kami yakin kau mampu menyelesaikan semua kerumitan dan kecelaruan yang timbul.”
Sungguh, aku tidak memahami kata-kata lelaki tua itu. Dia meninggalkan aku dengan persoalan demi persoalan yang memerlukan ketajaman minda dan kehalusan jiwa. Semua itu bukan perkara yang mudah. Aku seperti menyusun puzzle dengan mata yang tertutup – sukar menebak kemungkinan atau faktor-faktor lain yang mempengaruhi jawapan dan keputusan. 
Aku cuba menyelesaikannya dengan tekun. Bagiku, permasalahan matematik dan kintsugi mempunyai keselarian. Seni kintsugi memerlukan ketajaman dan ketelitian; sama seperti matematik. Dalam matematik pun mengajar tentang geometri dan bentuk seperti serpihan pecahan vas yang digabungkan melalui kintsugi. 
Ya, falsafah kintsugi menjadikan kesenian itu menempel dan melekat dalam jiwaku! 
“Seni utama dalam kintsugi ialah memperbaiki. Kita perlu memperbaiki kepingan vas dengan getah pohon khusus yang dicampur dengan pernis bubuk emas, perak, atau platinum sebagai perekat. Kita akan memperbaiki hal-hal kecil yang belum dimaksimalkan. Bukan bererti kita lemah tapi kita perlu muhasabah dan memperbaiki diri.”
Kata-kata datukku sentiasa menyisip di celah kenangan yang menyusup di sebalik pintu yang tertutup rapat. Aku terus terkurung untuk menyelesaikan persoalan matematik berdasarkan serpihan vas yang cuba aku gabungkan dengan teknik kintsugi. Semuanya memerlukan kesabaran. Lambat tetapi pasti.”
Fikiranku menerawang sewaktu aku masih remaja tatkala ayah dipinggirkan daripada politik kepartian. Dia kalah dalam pemilihan. Dia ditolak oleh anggota parti. Aku melihat raut wajah kecewa yang jelas tergambar melalui redup mata. Tapi ayah sentiasa positif. Dia ketepikan segala rasa kecewa. Dia meminati seni kintsugi yang memberikan gambaran bahawa meskipun seseorang telah jatuh dan hancur, mereka masih mampu kembali bangkit dan menjadi lebih baik lagi tanpa melupakan luka-luka lama dan membaiki peribadi agar berbeda dari sebelumnya. Filosofi kintsugi meresap dalam jiwa. 
Entah berapa jam aku habiskan untuk menggabungkan serpihan seramik vas dengan menggunakan teknik kintsugi. Semua serpihan telah aku susun dengan pernis bubuk emas. Namun ada lompang pada satu bahagian vas tersebut. Inikah kemusykilan permasalahan yang perlu aku selesaikan? 82 sepihan seramik merah dan 33 serpihan seramik biru tidak dapat menghasilkan vas yang lengkap. Ada satu serpihan yang tertinggal sedangkan serpihan keseluruhan seramik vas itu berjumlah 115. Bahagian yang tertinggal itu menjadi misteri yang perlu diselesaikan. 
    Mengapa serpihan seramik itu tidak mencukupi? Tidakkah serpihan seramik itu sebenarnya mempunyai 116 pecahan? Adakah lelaki muda bertubuh sasa itu yang tersilap dari aspek bilangan serpihan seramik sehingga terpaksa melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang tatkala terpaksa menculikku. 
    Aku cuba mengingati teori penjenisan yang dikemukakan oleh Russell dan Whitehead yang telah menimbulkan beberapa masalah apabila digunakan untuk menerangkan beberapa konsep matematik. Penggunaan teori penjenisan ini telah menyukarkan penaakulan matematik dalam teori nombor. Russell dan Whitehead memperbaiki serta mewujudkan teori hubungan antara nombor nyata yang memberikan perincian bahawa matematik boleh dibina berlandaskan prinsip-prinsip logik. Ada beberapa kajian yang aku baca seperti kajian oleh Quine (1980) yang berpendapat, Russell dan Whitehead tidak menunjukkan bahawa bidang-bidang matematik yang tidak bersandarkan kepada aritmetik boleh diturunkan kepada logik. Russell sendiri mengalami kepahitan dengan kenyataannya yang terkenal: Matematik ialah satu-satunya bidang ilmu yang kita tidak akan tahu apa sebenarnya yang kita cakapkan dan sama ada perkara yang dicakapkan itu benar. 
    Mungkinkah 115 bukan jawapan yang benar untuk nombor 82 yang ditambah dengan 33? Ah, kadangkala angka juga penuh dengan kekeliruan! Dalam dunia, tidak ada yang benar-benar pasti. Semuanya boleh berubah. 
    “Ahli falsafah dan psikologi menyelesaikan sesuatu masalah tidak secara jumud dan konkrit. Sesuatu permasalahan tidak hanya dinilai dari aspek kuantitatif. Kadangkala angka tidak menyelesaikan masalah. Aspek kualitatif dan aspek luaran juga mempengaruhi setiap keputusan.”
    Lagi-lagi pandangan datuk berkelintar dalam ruang mindaku. Semua itu perlu aku perhalusi untuk menyelesaikan masalah yang nampak mudah tetapi ruwet. Mengapa perlu ada ruang kosong? Mengapa 82 sepihan seramik merah dan 33 serpihan seramik biru tidak dapat menghasilkan vas yang lengkap? 
Sekilas, falsafah tentang nombor daripada ahli matematik menerjah minda. Kronecker dan Poincare mempunyai pandangan yang sama bahawa nombor berteraskan intuisi manusia. Menurut mereka, matematik ialah aktiviti yang berlegar di sekitar minda manusia. Manakala Pascal pula menyatakan bahawa matematik adalah rasa hati dalam penyelesaian masalah. 
    Aku tersandar di kerusi – cuba memanggil kesantaian rasa. Aku cuba berfikir. Nafas yang berkumpul dalam dada, aku lepaskan sekali gus hingga memberikan hembusan yang kuat. Aku merenung vas yang belum lengkap itu. Apakah yang tertinggal? 
“Teknik kintsugi juga lahir dari konsep mottainai atau perasaan menyesal ketika menyia-nyiakan sesuatu, juga konsep mushin atau penerimaan terhadap perubahan. Semua ini penting dalam membuat perubahan dan menentukan keputusan.”
Semua kata-kata itu kian memberikan kejelasan dalam fikiranku. Aku cuba membuat rumusan daripada justifikasi yang dibina atas kelogikan. Titik permasalahan perlu dikenal pasti untuk melengkapkan vas tersebut. Setiap punca kuasa yang akan menyelesaikan masalah. 
Selepas itu aku terlelap. Keletihan seperti menyuntik ubat bius hingga aku tidak sedarkan diri. Adakah makanan aku telah dicampur dengan sedatif? Apabila aku tersedar, lelaki tua dengan wajah yang sedikit cengkung berada di hadapanku. Aku terpempan. Ada sepucuk pistol di tangannya. Aku tahu, dia inginkan jawapan. Mengapa angka dan operasi tambah itu belum mendapat jawapan konkrit? Mengapa ada satu serpihan yang tertinggal pada vas yang telah digabungkan? 
Aku terketar apabila pistol itu diacukan ke kepalaku. Peluh merenik di pori-pori wajah. Mataku terpejam – cuba mengingati kematian – yah, hanya kematian kerana aku tidak mempunyai keluarga! Rasa ketakutan seperti gari di tangan dan tali yang akan menjerut leherku. 
Lelaki tua itu mendesak dengan menonyoh-nonyoh pistol di kepalaku. Mataku sentiasa menjeling picu dan jarinya – khuatir peluru meluncur dari hujung pistol.  
“Angka itu kadangkala tidak menggambarkan realiti. Angka itu ada kalanya boleh dimanipulasi. Kuantiti tidak semestinya menggambarkan kualiti.”
Mata lelaki tua itu mencerlung ke arahku seperti ingin meletuskan peluru dari pandangan matanya. Aku mengerti makna pandangannya yang tidak sabar menanti jawapan.
“Kepingan seramik yang tertinggal pada vas itu adalah toleransi. Itulah falsafah yang perlu dipenuhi untuk menggenapkan angka atau untuk membulatkan tekad. Jikalau tidak … yang banyak menjadi arang, yang sedikit akan menjadi abu.”
Jikalau anda membaca cerita ini, maknanya otakku tidak berderai oleh peluru dari pistol itu. Dari matanya, aku tidak yakin dia akan melepaskan aku hidup-hidup dari bilik kurungan. Namun aku tak ingin menyampaikan cerita ini kepada sesiapa pun. Aku tidak mahu diperalat oleh angka untuk membuat satu keputusan.

 
 
Advertisement