Anda di sini

Anwar saksikan pemeteraian MoU, surat hasrat dalam lawatan rasmi pertama ke Jakarta

Advertisement
Anwar (tengah) menyaksikan sesi penyerahan surat hasrat yang diterima oleh Tengku Zafrul (dua, kiri) daripada TNB yang diwakili Datuk Indera Ir. Baharin Din (kiri) bagi meneroka peluang untuk terlibat dalam sektor tenaga termasuk tenaga diperbaharui malam tadi. Turut hadir Zambry (kiri), Menteri Luar Republik Indonesia Ibu Retno Marsudi (dua, kanan) dan Menteri Kerajaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuljono (kanan). - Gambar Bernama 
Anwar (tengah) menyaksikan sesi penyerahan surat hasrat yang diterima oleh Tengku Zafrul (dua, kiri) daripada TNB yang diwakili Datuk Indera Ir. Baharin Din (kiri) bagi meneroka peluang untuk terlibat dalam sektor tenaga termasuk tenaga diperbaharui malam tadi. Turut hadir Zambry (kiri), Menteri Luar Republik Indonesia Ibu Retno Marsudi (dua, kanan) dan Menteri Kerajaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia Basuki Hadimuljono (kanan). - Gambar Bernama 

JAKARTA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Ahad menyaksikan pertukaran sembilan memorandum persefahaman (MoU) melibatkan syarikat-syarikat Malaysia bagi pelbagai projek dan kerjasama selain sesi penyerahan surat hasrat (LoI).

Ini termasuk MoU antara ASIC Offshore & Marine & Marine Sdn Bhd dan PT Dok dan Perkapalan Kodja Bahari yang dianggarkan bernilai lebih RM500 juta dan melibatkan usaha selama dua tahun.

Dua syarikat terbabit berhasrat mendapatkan bahagian pasaran bagi segmen kejuruteraan, pembinaan kapal, baik pulih kapal, pelaburan kewangan bagi instrumen serta kemudahan pengeluaran, kejuruteraan daratan dan luar pesisir, fabrikasi selain pembinaan kapal perniagaan dan pembaikan kapal dari syarikat perkapalan negara itu dalam rantau Indonesia.

Selain itu, Perjanjian Komitmen Kerjasama antara AIROD Sdn Bhd dan PT Dirgantara Indonesia dengan potensi nilai US$150 juta (RM660 juta) bagi projek pemodenan selama lima tahun yang akan diperincikan kemudian dalam perjanjian berasingan dan/atau menerusi tempahan melibatkan kedua-dua pihak.

Hadir sama dalam majlis pertukaran dokumen MoU itu adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Luar Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta rakan sejawatnya dari Indonesia Retno Lestari Priansari Marsudi selain Menteri Pekerjaan Umum dan Perumahan Rakyat Indonesia M Basuki Hadimuljono.

MoU lain melibatkan kerjasama perniagaan antara Export-Import Bank of Malaysia Bhd dan Lembaga Pembiayaan Eksport Indonesia selain Citaglobal Bhd dan Indonesia Battery Corporation, AWC Bhd dan PT GKM (Kek Maloy) dan AWC Bhd dan PT Bintang Timur Investama.

Memorandum kerjasama (MoC) pula membabitkan FGV Holdings dan PT Perkebunan Nusantara Indonesia (PTPN) selain Penjana Kapital Sdn Bhd dan Indies Capital-AC Ventures manakala SIRIM Bhd dengan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia.

Majlis sama turut menyaksikan sesi pertukaran sejumlah 11 LoI membabitkan masing-masing 10 syarikat Malaysia yang berhasrat menyertai pembangunan Nusantara, ibu negara baharu Indonesia.

Syarikat terbabit adalah Success Electronics & Transformer Manufacturer Sdn Bhd bagi pelaksanaan Pencahayaan Lampu Jalan Pintar LED manakala Carsome merangkumi usaha pendigitalan perdagangan automotif di Nusantara.

Pengeluar kabel aluminium dan tembaga, Olympic Cable Company pula berhasrat mengembangkan produk sedia adanya termasuk kabel kawalan, kabel instrumentasi, kabel pelbagai teras serta telekomunikasi.

Boustead Properties Bhd menawarkan usaha pembangunan hartanah dan perkongsian pengetahuan dalam mewujudkan perbandaran pintar serta lestari.

Selain itu, Berjaya Corporation Bhd akan menawarkan kepakaran dalam pengurusan sisa pepejal, bekalan air minuman, pembangunan hartanah serta perumahan dan teknologi bandar pintar.

Pharmaniaga Bhd pula berhasrat menawarkan produk serta perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti dan berpatutan manakala Alliance MEP (Sarawak) Sdn Bhd pula dari segi penawaran perkhidmatan profesional.

Protasco Bhd (HCM Engineering) menyasarkan untuk membangunkan prasarana serta perumahan kerajaan dan Protasco Bhd (i2 Energy) melibatkan usaha memajukan tenaga boleh baharu dan stesen pengecasan.

Reneuco Berhad pula berhasrat untuk menyediakan perkhidmatan tenaga dan utiliti lestari.

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd yang berharap meneroka serta terbabit dalam pembangunan serta operasi penyelesaian tenaga, telah menyerahkan LoI kepada PT Perusahaan Listrik Negara.

Anwar tiba di Indonesia semalam bagi memulakan lawatan rasmi pertamanya sejak dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov lepas. - Bernama 

Advertisement