Anda di sini

PM Anwar dijangka adakan lawatan rasmi pertama di Sarawak awal Februari ini 

Advertisement
Fadillah bergambar bersama ahli kariah Masjid An-Nur semasa sarapan pagi di Restoran Dapur Ani pagi tadi
Fadillah bergambar bersama ahli kariah Masjid An-Nur semasa sarapan pagi di Restoran Dapur Ani pagi tadi

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka akan mengadakan lawatan rasmi pertamanya ke Sarawak selewat-lewatnya awal Februari ini.

Beliau akan menghadiri mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPPMA63) di Kuching tidak lama lagi.

Demikian kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof ketika ditemui pemberita semasa sarapan pagi bersama 200 kariah Masjid An-Nur di Restoran Dapur Ani di sini pagi tadi.

"Perdana Menteri telah bersetuju bahawa mesyuarat pertama majlis itu diadakan di Kuching semasa lawatan rasminya ke Sarawak. Saya tidak pasti sama ada bulan ini. Ia dirancang pada 19 Jan tetapi jadualnya masih belum ditetapkan. Kami harap ia akan diadakan selewat-lewatnya awal Februari," katanya.

Jelasnya, mesyuarat itu adalah untuk membincangkan perkara-perkara yang tidak boleh diputuskan di peringkat Jawatankuasa Teknikal kerana perbezaan pendapat daripada kementerian dan agensi berkaitan autonomi Sabah dan Sarawak ke atas projek yang menelan kos di bawah RM50 juta.

Selain itu, Fadillah berkata beliau akan meminta Kerajaan Persekutuan menumpukan perhatian ke arah perkembangan Sibu khususnya mengenai perumahan.

"Kita akan lihat bagaimana kita boleh membantu sama ada pembangunan fizikal atau infrastruktur di sini. Salah satu cabaran di Sibu ialah kos pembinaan rumah yang tinggi memandangkan bandar ini terletak di atas tanah gambut," katanya.

Ahli Parlimen Petra Jaya itu berkata beliau akan memastikan bagaimana agensi kerajaan Persekutuan boleh membantu negeri ini dalam membangunkan rumah mampu milik untuk generasi muda.

Fadillah yang kini sedang mengadakan lawatan rasminya di Sibu yang juga merupakan bandar kelahirannya.

Terdahulu, beliau turut mengadakan solat subuh dan kuliah di Masjid An-Nur sebelum menziarahi kubur Rosli Dhoby dan melawat Pasar Sentral dan menziarahi Kompleks Kebajikan Juma'ani Tuanku Haji Bujang, Sibu.

Turut mengiringi beliau ialah ADUN Nangka Datuk Annuar Rapa’ee.
 

  • oleh
  • Advertisement