Anda di sini

Hak Sarawak yang termaktub dalam MA63 tidak boleh dirunding

Advertisement
Abang Johari (kiri) melakukan simbolik perasmian Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, yang diadakan di Stadium Perpaduan. -Gambar Chimon Upon.
Abang Johari (kiri) melakukan simbolik perasmian Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, yang diadakan di Stadium Perpaduan. -Gambar Chimon Upon.

KUCHING: Hak Sarawak terhadap kuasa pemilikan tanah, pelantar pesisir dan kuasa autonomi imigresen yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) antara perkara yang tidak boleh dibuat rundingan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, Sarawak tidak akan berkompromi terhadap perkara berkenaan malah ia akan terus dipertahankan.

Menurutnya, Kerajaan Sarawak berusaha membangunkan negeri ini serta berharap hak Sarawak dalam MA63 diberikan semula selepas Sarawak mencapai kemerdekaan yang ke-60 tahun.

"Ada perkara (dalam MA63) yang tidak boleh dibuat rundingan antaranya hak pemilikan tanah dan juga kawasan pelantar pesisir.

"Ia adalah hak negeri Sarawak yang tidak boleh dirunding dengan orang lain.

"Selain itu, ialah kuasa imigresen, di mana kerajaan juga akan terus pertahankan kuasa autonomi ke atas imigresen selain pertahankan kawasan sempadan negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat pada Majlis Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023, di Stadium Perpaduan, di sini pada Sabtu.

Abang Johari berkata, Kerajaan Sarawak mempunyai pelbagai perancangan menjelang tahun 2023.

"Kita mempunyai perancangan pada 2023 di mana pada tahun itu, kita (Sarawak) mendapat satu era di mana Sarawak bersama negeri lain menubuhkan Malaysia.

"Apa yang kita harapkan apabila mencapai 60 tahun  Sarawak merdeka ialah hak Sarawak di bawah MA63 akan dikembalikan," jelasnya.

Dalam pada itu, mengimbau usaha Kerajaan Sarawak pada 2022, pelbagai langkah dan tindakan yang dilaksanakan bagi meningkatkan pendapatan Sarawak.

Jelas Abang Johari, antaranya ialah penubuhan dana kekayaan berdaulat serta tindakan untuk bergerak ke arah ekonomi hijau.

"Pada tahun 2025, Sarawak akan mengeluarkan 100, 000 tan hidrogen untuk dibekalkan kepada pembeli dari luar negara," jelasnya.

Katanya lagi, antara kemudahan yang diberi perhatian pada 2022 ialah kemudahan asas seperti jalan raya, air dan bekalan elektrik terus ditingkatkan.

Hadir sama Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, Menteri Kerja Raya Malaysia, Dato Sri Alexander Nanta Linggi serta tetamu kehormat yang lain.
 

  • oleh
  • Advertisement