Anda di sini

Jom sertai Program Pembiayaan Pendidikan Yayasan Peneraju

Advertisement

Memperoleh keputusan cemerlang di sekolah dan berjaya menyambung pengajian yang diminati di menara gading tidak menjadi penentu atau memberikan jaminan dalam fasa kerjaya seseorang individu tersebut.

Tambahan lagi, meski memperoleh pekerjaan setelah tamat pengajian, ramai yang mengambil keputusan untuk berhenti atau cari pekerjaan lain dek keadaan ekonomi yang tidak menentu.

Hakikatnya, persaingan dari segi menjadi seseorang yang ‘dikehendaki’ semakin lama semakin sengit dan golongan-golongan yang terkesan ini sentiasa tercari-cari peluang dan ruang yang ada bagi membolehkan masa hadapan mereka terjamin.

Kerana tiada pendedahan dari segi pemantapan kemahiran atau naik taraf sijil, peratusan pengangguran dalam golongan lepasan sekolah, malahan golongan yang mempunyai kelayakan dari institut pengajian tinggi direkodkan semakin meninggi. Malahan, episod COVID-19 yang melanda dunia memburukkan lagi pasaran pekerjaan secara sejagat.

Menyedari akan hakikat ini, kerajaan melalui Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menyediakan inisiatif untuk memberi peluang pembiayaan pendidikan kepada golongan Bumiputera yang ingin menaiktaraf diri atau cenderung kepada bidang kemahiran.

Mula beroperasi pada tahun 2012, sebagai sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, fungsi utama Yayasan Peneraju adalah untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kerelevanan bakat Bumiputera melalui program pembiayaan akademik (Peneraju Tunas), TVET (Peneraju Skil), pensijilan profesional (Peneraju Profesional), teknologi (Peneraju Teknologi) dan kepakaran (Peneraju Spesialis), selaras dengan usaha kerajaan untuk memacu Malaysia ke arah negara berpendapatan tinggi.

Yayasan Peneraju telah membantu lebih 50,000 penerima faedah melalui lebih daripada 400 program, yang dikendalikan oleh lebih 100 rakan program mereka. Program-program mereka dijalankan di semua negeri termasuklah Sabah & Sarawak.

Syarat utama pemohon mestilah berstatus Bumiputera dan syarat-syarat lain bergantung pada jenis program yang ditawarkan.

Kumpulan sasaran program-program yang ditawarkan di bawah teras Peneraju Skil ini merangkumi golongan berumur antara 18 – 45 tahun yang terdiri daripada empat kategori iaitu:
 
    i. Kelayakan minimum sijil UPSR berumur 18 – 25 tahun
    ii. Pelajar Tahun Akhir Diploma/Ijazah Sarjana Muda yang berumur 18 – 25 tahun
    iii. Lepasan Diploma/Ijazah Sarjana Muda yang berumur 19 – 35 tahun dengan pengalaman kerja tidak melebihi tiga tahun
    iv. Individu yang berumur 21 – 45 tahun dengan pengalaman kerja melebihi tiga tahun

Di bawah Peneraju Skil ini, fokus diberikan kepada latihan vokasional dan teknikal yang menepati permintaan industri khususnya industri Elektrik dan Elektronik, Pembuatan, Perakaunan, Telekomunikasi, serta sektor Minyak dan Gas.
 
Program yang ditawarkan khusus kepada golongan yang memiliki sekurang-kurangnya sijil UPSR, yang berumur 18 – 25 tahun, ialah:

●      Boilerman
●      Automasi
●      Jaminan Kualiti
●      Fabrikasi logam
●      Persijilan Juruteknik Perakaunan

Bagi program untuk pelajar tahun akhir Diploma/Ijazah pula, syarat minimum adalah lulus dan berstatus aktif pengajian serta berumur 18-25 tahun semasa memohon. Di antara program yang ditawarkan ialah:

●      Professional CSWIP 6GC Welder
●      Safety Health Officer

Program Latihan untuk Siswazah pula diperkenalkan bagi membantu graduan memperolehi kemahiran yang diperlukan oleh industri bagi meningkatkan kebolehpasaran mereka. Syarat bagi program ini adalah tamat pengajian, berpengalaman kerja kurang dari tiga tahun serta berumur 19-35 tahun semasa memohon.

Bagi program ini, Yayasan Peneraju berkolaborasi dengan Federation of Malaysian Skill Development Centre (FMSDC) untuk menawarkan lebih 22 program latihan kepada para siswazah.
 

Bagi Individu yang berumur 21 – 45 tahun pula, dengan pengalaman kerja tidak kurang daripada tiga tahun, Yayasan Peneraju menawarkan pensijilan yang menfokuskan kemahiran teknikal tinggi seperti CADCAM, kimpalan dan elektrik.

Program seumpama ini dijalankan bagi meningkatkan skil golongan bekerja/tidak bekerja agar kekal relevan dengan perkembangan industri. Pemohon perlu mempunyai pengalaman kerja lebih tiga tahun dan berumur tidak melebihi 45 tahun.

Secara ringkasnya, objektif program Peneraju Skil ini diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehpasaran (employability), membantu golongan yang kehilangan pekerjaan serta mereka yang kurang cenderung akademik dengan kelayakan minimum UPSR untuk mendapat pekerjaan.

Yayasan Peneraju bertanggungjawab memastikan agar mereka ini future ready dan future proof melalui modul yang dinamakan Program Pemupukan & Pembangunan (Nurture & Development Programme) agar mereka dilengkapkan dengan kemahiran insaniah, sahsiah serta kepimpinan untuk meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Pendekatan Train & Place ataupun Place & Train pula digunakan untuk memastikan para peserta program memperoleh pekerjaan setelah tamat latihan.

Yayasan Peneraju kini bekerjasama rapat dengan lebih 100 pemain industri, rakan-rakan program, penyedia latihan dan pihak berkepentingan yang lain bagi memastikan program yang ditawarkan berkualiti, relevan dan meningkatkan kadar kebolehpasaran mereka.

Setelah tamat latihan, para penerima faedah akan ditempatkan di syarikat yang bersesuaian dengan kelayakan dan prestasi semasa fasa latihan.

Bagi tahun 2023, Peneraju Skil turut mensasarkan untuk membantu lebih kurang 4,000 individu dan akan menawarkan lebih banyak program baharu yang meliputi lebih banyak bidang.
 
Setiap tahun, laporan menunjukkan lebih 95% para peserta program ini berjaya mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas latihan dan lebih 80% mencapai sasaran gaji yang ditetapkan.
 
 

Kepada yang berminat untuk memohon, bolehlah layari laman sesawang Yayasan Peneraju, www.yayasanpeneraju.com.my atau ikuti laman media sosial Facebook, Twitter, Instagram dan LinkedIn @Yayasan Peneraju.

Permohonan, syarat-syarat kelayakan dan maklumat lanjut berkenaan program boleh didapati di laman-laman tersebut.

Jom sertai program Yayasan Peneraju sekarang!

Advertisement