Anda di sini

STU berperanan tangani isu, cabaran pendidikan semasa

Advertisement

Pelajar tiada kewarganegaraan, kekurangan guru dan sekolah daif antara isu mendesak yang perlu ditangani kerajaan

 

Sumbangan Cikgu Kullin Djayang, Presiden STU
SIRI I

KUCHING: Memetik bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela: "Pendidikan adalah senjata paling kuat yang ada untuk mengubah dunia," bahkan pendidikan adalah asas kemajuan dan asas untuk membentuk masyarakat.

Menurut laporan UNESCO pula, "Pendidikan adalah asas asas untuk kesejahteraan rakyat." Masyarakat yang mempunyai tahap pendidikan yang tinggi, menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan mereka mampu memperoleh taraf hidup yang tinggi.

Sehubungan itu di Sarawak, sama seperti di tempat lain, pendidikan menjadi keutamaan kepada pemimpinnya bagi membolehkan semua anak-anak Sarawak mendapat akses pendidikan tanpa mengira latar belakang, agama dan bangsa, sekali gus melahirkan modal insan yang mampu memimpin negeri pada masa akan datang.

Namun dengan era baharu dan moden kini, pendidikan sudah semestinya menghadapi pelbagai cabaran baharu yang berbeza berbanding satu ketika dahulu.

Tidak hanya tertakluk kepada sistem pendidikan itu sendiri, peranan warga pengajar atau pendidik juga menghadapi cabaran dalam usaha menggalas pendidikan dengan baik di negeri ini dan antara yang memainkan peranan adalah Kesatuan Guru Sarawak (STU).

Untuk merungkai lebih lanjut mengenai isu dan cabaran pendidikan di negeri ini, Utusan Borneo telah menemu bual Presiden STU, Cikgu Kullin Djayang baru-baru ini.

Isu pelajar yang tiada taraf kewarganegaraan

Kullin berkata, isu pelajar yang tiada taraf kerakyatan di negara ini harus dibasmi sepenuhnya oleh kerajaan. 

Katanya, langkah drastik perlu dilakukan oleh kerajaan dengan menghantar sendiri pasukan dari kementerian untuk mengesan sendiri golongan terbabit, bukan sekadar bergantung kepada laporan daripada pihak sekolah.

"Pegawai Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) perlu terus bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara untuk menyantuni golongan ini dalam menyiasat latar belakang keluarga mereka dan membuat pengesahan sebagai warganegara.

"Proses ini perlu dilakukan di seluruh pelusuk negara khasnya di kawasan terpencil. Jika perkara ini dapat dilakukan saya percaya isu ini pasti akan reda," katanya.

Isu kekurangan guru di Sarawak

"Isu ini adalah isu berbangkit yang seolah-olah tidak dapat diredakan. Saya percaya setiap JPN (Jabatan Pendidikan Negeri) ada menyimpan data kekurangan guru ini dan sudah pasti pihak kementerian mengetahuinya. 

"Setiap kali kesatuan dan KPM mengadakan perbincangan terhadap isu ini, semua pihak akan memberi jaminan ia akan dipertimbangkan dan ditangani segera, namun ia seolah-olah hanya pada kata-kata sahaja, pada dasarnya ia belum dilaksana sehingga ia berlarutan sepanjang masa," katanya.

Kullin mendedahkan, antara punca utama kekurangan guru berlaku ialah silap padan, misalnya mata pelajaran yang tiada guru, dengan kebanyakan adalah subjek STEM, tetapi bekalan guru yang diagihkan adalah bukan bidang terbabit.

Katanya, kekosongan tetap berlaku, maka kerajaan harus memberi perhatian kepada perkara ini, selain mengambil guru secara 'one-off' dan guru interim seperti yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu.

"Bagi saya, perkara lain yang boleh difikirkan oleh KPM ialah memperkenalkan Opsyen Am dalam pengambilan guru pelatih di institut pendidikan guru (IPG) dan universiti, dari itu semua calon guru akan dilatih dalam pelbagai subjek di institusi pendidikan bagi menyediakan mereka untuk mengisi kekosongan sebarang subjek atau mata pelajaran di sekolah. 

"Selain itu, bagi Sarawak yang mempunyai kekurangan guru yang sangat kritikal, kerajaan boleh mengambil lebih ramai graduan yang belum bekerja untuk ditemu duga dan menjalani sedikit ujian khas bagi mengisi kekosongan kritikal ini di setiap sekolah yang memerlukan guru.

"Pada masa sama, mereka perlu mengikuti latihan intensif berkaitan pedagogi pendidikan di IPG tempatan semasa hujung minggu dan cuti sekolah. Latihan ini hendaklah terancang dan mengambil masa empat hingga lima tahun sebelum pelantikan tetap sebagai guru," kata Kullin.

Isu sekolah miskin dan daif di Sarawak

"Sekolahku Syurgaku."
"Sayangi Sekolah kita." 
"Datang dengan harapan, Balik dengan kejayaan."

Ia adalah antara slogan yang pernah beliau lihat di beberapa sekolah luar bandar dan pedalaman di Sarawak.

"Saya tidak menyangkal bahawa banyak sekolah di luar bandar dan pedalaman yang sudah lengkap fasiliti, capaian Internet yang baik serta tiada masalah kekurangan guru.

"Namun ia cuma segelintir sahaja, kebanyakan sekolah di luar bandar dan pedalaman negeri ini masih lagi dalam keadaan yang serba kekurangan dan ada yang dikategorikan sebagai sekolah daif. 

"Persoalannya mengapa setelah mencecah abad ke-21 ini masih terdapat sekolah daif? Sudah hampir 60 tahun kerajaan ditubuhkan masih ada lagi sekolah daif? 

"Selaku seorang pendidik di sekolah luar bandar, saya sentiasa berdepan dengan keadaan yang serba kekurangan ini, namun begitu tugas sebagai pendidik tidak pernah diculaskan. 

"Saya sentiasa berharap sepanjang 28 tahun sebagai pendidik kemudahan di sekolah sentiasa diperbaiki sepenuhnya oleh setiap kerajaan yang memerintah," ujarnya.

Kullin berkata, antara perkara yang sering menjadi kekangan kepada guru luar bandar dan pedalaman ialah masalah capaian Internet, kurang kemudahan belajar dan sumber rujukan, keadaan bangunan kelas juga kuarters guru yang daif, kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan jalan pengangkutan yang amat terbatas dan perkara yang sangat menyukarkan semua pendidik luar bandar ialah masalah kekurangan tenaga pengajar. 

Katanya, tidak dinafikan sememangnya ada usaha ke arah penambahbaikan, namun ia terlalu sedikit. 

"Saya harap kerajaan baharu ini dapat mencanai perbelanjaan dengan penuh bijaksana dengan memberi tumpuan kepada masalah kritikal ini tanpa prejudis dan telus dalam perbelanjaan agar jurang pendidikan antara sekolah luar bandar dan sekolah bandar dapat dirapatkan," katanya.

Isu guru cenderung bersara awal

"Sebenarnya, STU sedang mengadakan soal selidik berkaitan isu ini. Kita ingin mengetahui punca sebenar ia berlaku, kerana kita ingin mengemukakannya kepada pihak kementerian untuk diberi perhatian sewajarnya.

"Sebelum ini kita dengar banyak desas desus tentang guru cenderung bersara awal, namun setelah saya bertanya kepada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, saya mendapati peratusannya amat kecil," katanya. 

Beliau berkata, ia bukan sesuatu yang kementerian boleh ambil ringan dan STU bimbang ia akan menjadi trend kepada para guru selepas ini, oleh itu tindakan drastik harus difikirkan bagi mengelak isu ini berterusan.

Peranan STU dalam merealisasikan aspirasi Sarawak

Kullin berkata, semua sudah pasti akan mengatur langkah untuk merealisasikan Sarawak mencapai status negeri maju dan berpendapatan tinggi. 

Menurut sebuah kesatuan guru antarabangsa EI, kebanyakan negara maju sudah mengamalkan sekolah percuma untuk rakyat mereka dan ia tidak mustahil diamalkan di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya.

"Bagi STU, peranan utama akan sentiasa bekerjasama dan saling bertukar pendapat, idea, sumber baharu dalam bidang pendidikan yang diperolehi daripada pihak luar seperti kesatuan lain di negara ini dan kesatuan dari luar negara untuk dikongsikan bersama.

"Selain itu, mengunjurkan hasil kajian dan pendapat khasnya dengan semua ahli STU, para guru, Majlis Pengetua dan Guru Besar, jabatan dan kementerian.

"Ini kerana dari sumbangsaran semua pihak akan mencetuskan buah fikiran dan resolusi untuk mencapai kesepakatan yang memberi kepuasan serta kesan positif kepada semua pihak termasuk kerajaan negeri. STU sentiasa positif bak kata pepatah 'bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'," ujarnya.
 

Advertisement