Pelbagai manfaat diperolehi dengan menjadi ahli untuk memastikan guru mendapat pembelaan setimpal pengorbanan
Sumbangan Cikgu Kullin Djayang, Presiden STU
SIRI I
KUCHING: 'Guru umpama lilin yang membakar diri demi menerangi orang lain' merupakan peribahasa yang sudah sinonim menggambarkan pengorbanan seorang guru dari segi masa dan tenaga demi memastikan anak didiknya berjaya dalam kehidupan.
Guru memainkan peranan yang amat penting dalam membentuk seseorang pelajar dan tanggungjawab guru sememangnya memberi impak yang besar dan mendalam dalam diri setiap individu.
Sama seperti profesion lain, guru juga menghadapi kekangan atau cabaran bukan sahaja di sekolah, malah kebajikan mereka harus diambil perhatian.
Di Sarawak, bagi menjaga kebajikan warga pendidiknya, Kesatuan Guru Sarawak (STU) telah diberi tanggungjawab dalam perkara tersebut yang mana kesatuan kini diterajui oleh Presidennya, Cikgu Kullin Djayang.
Untuk merungkai lebih lanjut mengenai sejarah dan peranan STU, Utusan Borneo telah menemu bual beliau baru-baru ini.
Sejarah Kesatuan Guru Sarawak (STU)
Menurut Kullin, STU adalah kesatuan guru terbesar di Sarawak dan kedua terbesar di Malaysia. Ia telah diiktiraf dan didaftarkan sepenuhnya oleh Pendaftar Kesatuan Sekerja pada 29 Mac 1965.
Sebelum penubuhan STU, terdapat beberapa persatuan guru seperti Persatuan Guru Kuching, Persatuan Guru Cina Sibu dan Persatuan Guru Siswazah Taiwan.
"Pada masa itu, guru dikelaskan sebagai guru kerajaan, bantuan kerajaan dan swasta. Walaupun guru dari sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan perlu mematuhi peraturan yang sama, guru sekolah bantuan kerajaan dan kerajaan sepenuhnya tidak diberikan terma dan syarat perkhidmatan yang sama, terutamanya dari segi faedah seperti pinjaman perumahan, kuarters guru, elaun perjalanan dan sukatan pelajaran.
"Ketidaksamaan ini menimbulkan pelbagai kekangan. Oleh itu, dengan penubuhan Kesatuan Guru Sarawak (STU), guru-guru dapat berunding mencari penyelesaian bagi merungkai kekangan menerusi kesepakatan dan kekuatan dalam sebuah kesatuan sekerja untuk berusaha memperbaiki dan menjaga kebajikan semua guru ketika itu," ujarnya.
Peranan STU dalam memartabatkan pendidikan
Kullin berkata, peranan utama STU adalah untuk menjaga kebajikan para ahli, justeru antara kebajikan guru yang ditawarkan oleh STU ialah insurans kelompok untuk sekeluarga yang sangat berbaloi untuk dibeli dengan harga yang murah serta menawarkan manfaat yang cukup tinggi.
"Malah baru-baru ini, STU menawarkan kepada semua ahli dengan bayaran RM10 untuk yuran keahlian mereka turut mendapat perlindungan kemalangan bernilai RM100,000.
"Seterusnya, STU menawarkan nasihat guaman percuma kepada setiap ahli jika menghadapi sebarang pertuduhan yang berkaitan dengan perjawatan atau perkara berkaitan tugas rutin guru, tidak termasuk kes-kes jenayah.
"Saya menjangkakan tiada kesatuan lain yang akan mengembalikan yuran kepada ahli setelah mereka bersara wajib, namun STU adalah satu-satunya kesatuan yang membayar balik yuran keahlian kepada ahlinya selepas bersara, namun jumlahnya bergantung kepada tempoh seseorang guru menjadi ahli," jelasnya.
Selain itu katanya, STU sentiasa memastikan setiap ahli mendapat manfaat diskaun daripada 'merchant partners' yang terdiri daripada kedai buku, kedai makan, kedai perabot, hotel, farmasi dan juga pembaharuan insurans kenderaan.
Peranan STU dalam menjaga kebajikan ahli juga merangkumi penyediaan khairat kematian kepada ahli dan keluarga terdekat seperti pasangan, anak dan ibu bapa, katanya.
"Pada saya adalah satu kerugian besar jika guru tidak menjadi ahli STU. Ini kerana STU sentiasa menitikberatkan kebajikan para ahli.
"Saya pasti usaha STU selama ini sudah banyak telah dinikmati oleh ahli dan juga para guru di seluruh Malaysia. Sejujurnya, saya katakan bahawa STU akan sentiasa berjuang demi kebajikan warga pendidik di Sarawak khasnya dan di Malaysia amnya," ujar Kullin.
Harapan STU terhadap Menteri Pendidikan baharu
"Saya melihat ini adalah satu perkara yang positif dalam bidang pendidikan, kerana selama ini jarang menteri pendidikan adalah wanita. Saya beranggapan begitu kerana saya jangkakan bahawa seorang wanita akan berperwatakan seperti seorang ibu mendidik anak dengan penuh kasih sayang, umpama menatang minyak yang penuh.
"Besar harapan saya terhadap kerajaan baharu ini agar tidak seperti menteri-menteri terdahulu yang sentiasa ingin mengubah sukatan pelajaran mengikut acuan mereka bagai sekali air bah, sekali pantai berubah. Perkara seperti ini bukan sahaja membebankan guru dan pelajar, tetapi ia juga membebankan kewangan negara.
"Saya berharap beliau (Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek) memikirkan penambahbaikan dalam sistem serta menyediakan fasiliti belajar yang lebih kondusif khasnya di sekolah luar bandar dan pedalaman," katanya.
Kepentingan Teknologi dalam Pengajaran dan Pembelajaran
Kullin berkata, teknologi adalah satu perkara yang sangat penting dan wajib dikuasai dengan baik oleh semua lapisan masyarakat.
Bagi guru katanya, teknologi bukan lagi asing, ia adalah satu keperluan utama dalam memperkasakan pendidikan di negara ini, tidak kira secara 'online' atau 'offline,' teknologi sentiasa di telunjuk jari guru.
"Saya percaya kini semua guru sudah menguasai teknologi dengan baik, cuma apa yang menjadi halangan ialah capaian Internet yang lemah di sesetengah kawasan menyebabkan penggunaan teknologi ini terbantut.
"Jika kerajaan baharu ini dapat mengatasi masalah capaian Internet ini maka tidak mustahil negara kita akan melangkah maju sebaris dengan negara maju lain," katanya.