Anda di sini

Malaysia Airlines sambung semula penerbangan Narita-KK

Advertisement
 Joniston (dua kanan), Noredah (dua kiri) semasa menyambut penumpang pertama dari Jepun di Lapangan Terbang KK.
SAMBUT: Joniston (dua kanan), Noredah (dua kiri) semasa menyambut penumpang pertama dari Jepun di Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Syarikat penerbangan Malaysia Airlines menyambung semula penerbangan ke Kota Kinabalu dari Narita Jepun (NRT) selepas pembukaan sepenuhnya sempadan negara kepada pelancong luar.

Pesawat MH81 yang digunakan syarikat penerbangan itu menyediakan perkhidmatan dua kali seminggu iaitu setiap Isnin dan Khamis.

Penumpang penerbangan pertama yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK)  di sini disambut secara meriah oleh Lembaga Pelancongan Sabah (STB).     

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Kapten Izham Ismail berkata, penyambungan semula perkhidmatan itu dapat menambah penerbangan langsung syarikat berkenaan ke beberapa bandar di Jepun.

“Penerbangan langsung sedia ada termasuklah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke NRT, Lapangan Terbang Antarabangsa Kansai (KIX) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda (HND).

“Pelancong kini mempunyai pilihan untuk melancong ke Jepun melalui Sabah menerusi penerbangan anak syarikat kami iaitu Firefly dan MASwings,” katanya dalam kenyataan media, di sini semalam.

Menurutnya, berikutan pembukaan semula sempadan negara tahun ini, Malaysia Airlines komited untuk meningkatkan kadar kekerapan dan kapasiti penerbangan ke negara luar termasuklah India, Australia dan laluan utama London.

“Selain itu, kami juga memperkenalkan penerbangan terus ke HND dan Doha bagi merangsang sektor pelancongan dan memudahkan sambungan penerbangan untuk pelancong dalam dan luar negara.

“Kami berharap dapat meneruskan momentum itu bagi memulihkan pra-pandemik semua syarikat penerbangan Malaysia Aviation Group (MAG) dan menjangkakan tahun ini berakhir dengan dengan pencapaian kapasiti sekitar 82 peratus,” katanya. 

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar yang juga Pengerusi STB Datuk Joniston Bangkuai berkata, usaha Malaysia Airlines mengiktiraf Sabah sebagai pasaran utama terpenting harus dipuji.

Beliau berkata, kerajaan negeri berharap lebih banyak lagi penerbangan langsung dipulihkan dan ditambah oleh syarikat penerbangan nasional ini,” katanya. 

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif STB Noredah Othman dan pegawai MAS, pegawai Aero Darat Services dan pegawai Malaysia Airport Berhad (MAB). 

  • oleh
  • Advertisement