Anda di sini

Miri, Kota Inspirasi: Antara keseimbangan Nilai Fikiran dengan Nilai Rasa

Advertisement
 

Oleh Abang Median Abang Said

 

TATKALA melakukan apresiasi puisi, antara perkara yang perlu diambil perhatian ialah tentang keseimbangan antara isi dan bentuk yang sering sahaja dicanang sebagai benih atau akar yang menumbuhkan tunas hingga menjadi pohon keutuhan puisi. Atas prinsip itulah ada sesetengah pengkaji melihat aspek isi dan bentuk sebagai keutamaan sewaktu membuat penilaian setelah turut mengambil kira elemen lain seperti gaya bahasa dan sebagainya (Anis Sabirin, 1973). Dalam pemilihan diksi, penyusunan bait dan baris, pengarang secara tidak langsung cuba memberikan keseimbangan dari aspek nilai perasaan dan nilai pemikiran yang menjadi tunjang atau asas dalam pembinaan sesebuah puisi. Pertautan antara jiwa dan minda akan membentuk perkataan hingga disusun menjadi baris, kemudian menjadi rangkap, seterusnya membentuk puisi yang lengkap. Perkara itu jugalah yang menjadi teras kepada pendefinisian puisi oleh S.T. Coleridge (1772 – 1834) sebagai “kata-kata terbaik dalam susunan terbaik”. Walau bagaimanapun, Coleridge telah memberikan penegasan agar tidak meletakkan semua yang berangkap itu sebagai puisi dan pengkaji perlu selektif meletakkan puisi berdasarkan nilai pemikiran dan nilai rasa agar puisi ditakrifkan kepada pengertian yang terlalu sentimental.
    Nilai fikiran dan nilai rasa dalam sajak merupakan kesatuan yang terlahir daripada pemilihan diksi oleh pengarang. Perkara ini akan ditelusuri berdasarkan puisi yang terdapat dalam antologi Miri, Kota Inspirasi terbitan Majlis Bandaraya Miri, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak dan Persatuan Penulis Utara Sarawak pada tahun 2021. 
    Sememangnya, ada tanggapan yang mengatakan bahawa perasaan itu terlalu mudah untuk diluahkan, namun dalam luahan perasaan melalui sajak, pemilihan diksi yang akan menjadi kayu ukur membangkitkan perasaan pembaca dengan seluruh pancaindera. Sajak yang mantap bukan hanya terletak pada pemikiran sajak, bahkan mencakupi kehalusan pada imej yang digunakan. Begitulah yang dikatakan oleh Shahnon Ahmad bahawa puisi cuba mengekspresikan pemikiran yang membangkitkan perasaan yang mengusik imaginasi menerusi pancaindera (Shahnon Ahmad, 1978). Menurut A. Teeuw pula, membaca puisi bererti bergulat terus-menerus untuk merebut makna sajak yang disajikan. Sajak yang baik merupakan bangunan bahasa yang menyeluruh dan berdiri sendiri.
    Di India, pembicaraan tentang estetik sangat dipengaruhi oleh Teori Rasa. Teori ini mempertembungkan Keadaan Jiwa Yang Kekal (Sthayibhava) dengan keadaan jiwa yang lain seperti Penentu (Vibhava), Kesan-Akibat (Anubhava), Keadaan Jiwa Biasa (Sattvika) dan Keadaan Jiwa Pelengkap (Vyabhicari-bhava) bagi mewujudkan rasa. Rasa pula terbahagi kepada lapan jenis iaitu berahi, lucu, sedih, berang, wira, dahsyat, benci dan kagum (Kumpulan Kritikan Sastera: Timur dan Barat, 1987).
    Sementara itu, pemikiran pula ialah idea yang dikenali sebagai tema yang perlu digali dan difahami melalui penghayatan. Tuntasnya, nilai fikiran dan nilai rasa yang akan memberikan nadi, menghembuskan nafas dan menggerakkan jasad sajak tersebut. Berdasarkan antologi Miri, Kota Inspirasi, prestasi penyair akan diperhalusi sama ada mampu menjadi perenung yang empati, peneliti yang realis dan pentafsir yang tajam. 
    Zainal Abidin Suhaili melalui puisi “Jauh di Dasar Kota Ini” memperlihatkan jati dirinya sebagai penyair yang memberikan perlambangan dalam kehidupan. Diksi dan perlambangan yang dipilih memberikan kesan emosi dan merangsang daya fikir pembaca untuk mengaitkan sajaknya dengan situasi sosial masyarakat. Beliau menggunakan diksi “Dasar Kota” sebagai tunjang tajuk – diksi yang memberikan konotasi tentang masyarakat keseluruhan, termasuk yang tinggal di ceruk kota yang secara keseluruhannya melihat kehidupan pada lapisan luar atau fizikal sahaja. Perkara ini digambarkan melalui diksi “cangkerang” yang menjadi kesinoniman dalam karya pengarang. Beliau menyuarakan :


Di kota ini
kulihat manusia seperti semut
mengerumuni cangkerang dunia
yang manis dan jelita
penuh berahi direbut puja.


    Seseorang tidak mungkin menjadi penyair agung tanpa pemupukan falsafah yang mendalam. Dalam sajak ini terpamer sisipan falsafah biarpun tidaklah semantap karya-karya lain pengarang sebelum ini. Pengarang berbicara tentang persoalan diri dalam erti kata yang lebih mendalam. Dalam bait terakhir, pengarang mengajak kita merenungi mauduk sebenar kehidupan yang perlu melihat kepada yang ‘satu’ yang merujuk kepada Tuhan. Rupa-rupanya masih ada lagi masyarakat di dasar kota yang melihat perkara yang seakan-akan dilupakan oleh kebanyakan khalayak kota dan telah menjadi gagasan dalam sajak ini :


Jauh di dasar kota ini
masih kutemui sekumpulan orang
yang tidak asyik terpukau
oleh keindahan alam cangkerang
tapi menangkap isi terdalam
memandang yang satu
dalam yang ramai
melihat yang banyak
dengan yang tunggal.


    Sesebuah sajak ialah lambang kepada kasih sayang sesama manusia. Sikap manusia boleh diolah menjadi cerpen, drama atau ditulis lebih rinci dan kompleks melalui novel walaupun gambaran tersebut kadang-kadang meleret dan tersasar daripada fokus sebenar. Namun, puisi lebih tersusun dan terkawal pengucapannya dengan jumlah diksi yang sedikit tetapi memberi makna yang luas serta mampu mengerah daya fikir pembaca. Perkara ini diungkapkan oleh Naziah Naziri dalam “Figura Suri Hati Bidadari” yang berlatarbelakangkan perkampungan Pulau Melayu tentang rasa cinta seorang lelaki kepada wanita yang dikaitkan dengan cuaca dan alam :


Kau suri hati bidadari,
raikan cinta setiap denyut nadi
tanpa peduli pada angin monsun dan musim tengkujuh
deras hujan, gelora laut atau badai taufan
semuanya kausangkal
dengan menatang tenang tanpa bimbang


    Sajak ini lebih fokus kepada nilai rasa seorang lelaki yang lebih kepada introspeksi diri namun kurang berimbang dengan nilai pemikiran yang hendak diketengahkan. Pengarang cuba menyampaikan kesinisan tentang permasalahan keluarga dalam masyarakat moden yang kadangkala berpunca daripada kasih sayang watak lelaki yang semakin pudar. Kesenjangan antara nilai rasa dan nilai pemikiran ini telah mengurangkan nilai sastera puisi berkenaan. Walau bagaimanapun, pemikiran yang nampak klise dan remeh kadangkala memberi impak besar jikalau diolah dalam perspektif berbeza dan lebih luas. 
    Azrinna Jamahari melalui sajak “Menyingkap Tabir Sejarah” mengungkapkan nilai pemikiran dan nilai perasaan yang bernada historiografi. Pembaca akan dihambat rasa untuk menghargai sejarah yang kian tergasir oleh pemodenan. Melalui sajak tersebut, pengarang mengaitkan pusat membeli-belah di Bintang Mega hingga ke Coco Cabana, Tanjung Lobang ke Grand Old Lady dengan penjajahan Inggeris dan Jepun termasuk kepayahan bangsa Miriek yang datang dari jauh ke Miri. Cuma nilai pemikiran yang disampaikan oleh pengarang kurang mendalam hingga turut memudarkan nilai rasa pada sajak berkenaan.
    Kadangkala dalam penghasilan sesebuah sajak akan menyebabkan pembaca terasa serasi dengan susunan bait dan diksi yang digunakan sehingga sajak itu begitu dinikmati. Sesebuah sajak itu bukan hanya diukur dari aspek bentuk, keindahan bahasa termasuk penggunaan asonansi dan aliterasi, malahan sajak juga mampu mengangkat memori yang menjentik rasa dan membongkar sejarah lama yang menguji daya fikir. Perseimbangan antara pemikiran dan perasaan dapat dihayati melalui sajak “Kenangan di Padang Gelumang” karya Basri Abdillah. Pengarang mengutip memori masa lampaunya untuk membangkitkan nilai rasa pembaca terutama pada rangkap kedua sajak berkenaan :


Los Cermin
saat mengimbas kembali
pada deretan tersusun rapi
rumah-rumah kompeni
kubuka pintu hadapan
memasuki ruang tamu
(dasan luas hijau terbentang
Padang Machinda nama julukan
di sana aku pernah hadir
riang berkejaran mundar-mandir)
kemudian ke kamar beradu
(kasur Kelab Machinda setia menunggu)
di sana kulepaskan rindu yang pekat


    Sesebuah sajak merupakan sebutir mutiara yang terkandung di dalamnya beraneka alam, peristiwa dan juga tanggapan manusia. Berdasarkan sajak “Ke Kota Inspirasi”, Ja’afar Haji Hamdan telah membuat tanggapan tentang perubahan fizikal dan perubahan mentaliti masyarakat pada zaman berkenaan. Baca bait awal sajak ini:


Mari kita ke kota inspirasi
mencari makna peribadi
yang kian hilang jati diri
sejak menukang harga sejati
pada pemodenan tak terperi


    Jelas, kota inspirasi telah kehilangan jati diri yang begitu berharga dari aspek pembangunan rohani. Generasi moden telah kehilangan pertimbangan nilai sebenar termasuk antara nilai jiwa dan pertimbangan pemikiran. Pengarang cuba memberikan keseimbangan antara nilai tersebut terutama pada pengakhiran sajaknya tentang kemanusiaan yang perlu mencari makna dalam kehidupan yang pasti akan melalui segala kemungkinan. Pengarang cuba melontarkan falsafah yang menuntut penaakulan dengan ketinggian ilmu dan peribadi untuk mengaitkan sajaknya dengan realiti kehidupan di kota berkenaan. 
    Kebanyakan pengarang dalam antologi Miri, Kota Inspirasi menjadikan geosastera sebagai pendekatan menelaah sastera dari aspek tradisi dan kondisi soisobudaya, ekonomi, politik setempat serta tekad dan usaha yang membumi. Semua ini membawa kepada kesedaran dan keprihatinan kepada dunia sekeliling yang didepani. Edward W. Said mengatakan bahawa cara berfikir yang memberikan perhatian kepada ruang dan tempat harus diambil kira dalam konsep geosastera, namun apabila mengiktiraf sisi lokaliti, akan mengukuhkan sisi commonality dengan adanya kesedaran nasional. Membaca lembaran sastera persis memasuki alam tempat yang turut membongkar sejarah, melatih pembaca untuk melihat dengan ketajaman persepsi serta mengimaginasikan sesuatu konteks atau tempat. Dalam sastera moden, tempat merujuk kepada kawasan yang sememangnya wujud, persoalan tentang manusia dengan segala suka dan derita. 
    Dalam sajak “Tiada Serupa Si Kuda Tulen” memperkatakan tentang perubahan alam yang telah meruntuhkan mercu tanda di Pantai Tusan yang menyerupai kuda yang menghirup air. Sajak yang nampak agak sederhana ini telah menghantar nilai pemikiran yang tinggi tentang isu alam, ketidakprihatinan masyarakat dan pihak berkenaan untuk menjaga mercu tanda berkenaan hingga turun membangkitkan nilai rasa yang banyak dicengkam kekesalan dan kesedihan.
Satu perkara yang sangat ketara dalam antologi Miri, Kota Inspirasi ialah rakaman rasa dan nostalgia tentang daerah kelahiran atau tempat-tempat yang menarik di Miri. Perkara ini difahami kerana pengarang ingin memenuhi tujuan antologi ini dihasilkan. Namun, pandangan sarjana secara umum tentang sajak-sajak yang dihasilkan oleh penulis tempatan sentiasa meletakkan konteks alam yang menjadi kemestian kepada penyair. Isu tentang alam akan dikaitkan dengan perasaan, budaya dan perjalanan kehidupan. 
    Rakaman Awang Alfizan melalui sajak “Sungai Sibuti yang Dinanti” merupakan catatan pemikiran yang ingin menyuarakan segala rasa dari perdu kawasan yang berada dalam lingkungan Miri. Pengarang merakamkan catatan tentang jasa Sungai Sibuti kepada masyarakat Kedayan dan membangunkan Bekenu daripada hasil kayu seperti jelutong dan rotan engkabang yang perlu dipunggah suatu ketika dahulu. Pengarang cuba membangkitkan nilai rasa bermula dengan permulaan sajaknya :


Tatkala hiba mencarik-carik dada
menantilah di pesisir
sungai tua mengalirkan kisah
dari hulu membelah kota
dari kuala membasahi muara
menghanyut perahu membuang duka.


    Nilai rasa itulah yang cuba dikaitkan pengarang dengan nilai fikiran dalam sajak berkenaan yang mempunyai hubung kait dengan sosioekonomi dan pekerjaan masyarakat di sekitar kawasan tersebut. Sajak ini mampu membangkitkan rasa ingin tahu pembaca tentang sejarah dan budaya masyarakat di sekitar pekan Bekenu melalui Sungai Sibuti yang tentunya menyimpan kisah yang tersendiri. 
Ab. Rassid Haji Subet melalui tajuk sajaknya yang ringkas, “Miri” memaparkan tentang kenangan pada zaman remaja di Bukit Kanada, Wisma Pelita – bangunan tertinggi di Miri suatu ketika dahulu dan pesta warna-warni di The Grand Old Lady. Semua itu membangkitkan nilai rasa yang menurut pengarang “menyimpan rahsia antara tawa dan tangis” yang penuh sentimental terhadap generasi yang membesar seusia dengan sajak berkenaan. Namun pada rangkap akhir sajak tersebut, pengarang mengaitkan kemanusiaan yang kian hilang seperti “Luak Esplanade kian sepi” dan “Tamu Muhibbah terbaring duka” yang tentunya mempunyai perkaitan dengan gelodak rasa pengarang dengan kawasan berkenaan. Pemberatan dalam sajak ini lebih condong kepada nilai rasa dan hanya membuat sedikit sentuhan dalam aspek nilai fikiran. 
Sastera sebenarnya merupakan kegiatan penerokaan emosi seniman yang mengungkapkan pernyataan diri dalam objek seni persis jelmaan diri pengarang sendiri. Menurut Zurinah Hassan, seseorang yang membaca puisi sendiri seperti mengimbau kenangan untuk mengenali diri. Secara mudah, sajak “Pantai Miri” karya Poul Nanggang membicarakan tentang pengarang yang ke pantai Miri sewaktu senja untuk mencari kenangan diri. Dalam pertambahan usia yang pengarang kaitkan melalui imej “pantai” yang berubah dihakis “ombak”, pengarang mencari dirinya melalui apa-apa yang telah dilakukan sepanjang kehidupan melalui kenangan pada waktu “senja” dalam jurang waktu yang begitu singkat. Dalam usia yang kian memasuki waktu “senja”, pengarang merasakan pentingnya untuk mencermini diri mengingati kenangan – termasuk kesalahan dan kesilapan yang dilakukan.
Daripada dua sajak Sriwati Labot, sajak “Kota Kata” disampaikan dengan bahasa yang ringkas dan padat dengan pemilihan diksi yang mampu menjentik nilai rasa pembaca. Pengarang juga akur dengan arus peredaran zaman hingga “kota” menjadi serpihan “batu-batu sejarah yang bertaburan di kaki hari”. Diksi yang dipilih sesuai untuk membangkitkan rasa kesal dan kesedaran pembaca. Namun, masih adakah rasa cinta pada reruntuhan “kota” tersebut? Pengarang ternyata memberikan harapan yang positif pada rangkap kedua sajaknya apabila mengatakan: ternyata masih ada telaga cinta/ di bawah runtuhan sejarah/ dan kita pun saling merindu/ setelah jabat tangan menyatu.
Sajak “Kota Pertarungan Nyawa” karya Jaya Ramba terus selari dengan gaya pengarang melalui karya prosanya yang banyak memperkatakan tentang pertentangan antara kemodenan dan tradisi yang menyisipkan berontak rasa. Kebimbangan tebal pengarang tentang keruntuhan peradaban dan budaya terus dilarik dalam puisi ini yang menunjukkan kebolehan pengarang.
Secara keseluruhan, karya-karya dalam Miri, Kota Inspirasi banyak memaparkan pemikiran dan persoalan yang berlaku di sekitar kawasan menarik dan bersejarah di Miri, sama ada di kawasan kota atau di kawasan pedalaman yang dikaitkan dengan kehidupan masyarakat secara keseluruhan atau secara personal. Semua ini melantunkan nilai rasa dalam karya berkenaan – cuma keindahan sajak itu dinilai dari aspek keseimbangan antara nilai rasa dan nilai fikiran termasuk aliterasi, asonansi dan keindahan bahasanya. Tempat menarik seperti Bukit Kanada, Sungai Sibuti, Tamu Muhibbah, Tanjung Lobang, The Grand Old Lady, Los Cermin, Coco Cabana, Pantai Brighton, Pantai Esplanade, Pantai Tusan, Pantai Bungai, Gua Mulu dan Gua Niah sentiasa diilustrasi oleh setiap pengarang dengan mengaitkannya dengan rakaman peribadi. Tidak ada pengarang yang menonjolkan kelainan budaya dan kepelbagaian bangsa yang turut menjadi tarikan Bandaraya Miri. Jikalau adapun yang diangkat oleh Azrinna Jamahari melalui sajak “Menyingkap Tabir Sejarah” dan Shield Sahran dalam sajak “Ibu Tua di Bukit Kanada” tentang bangsa Miriek, nilai pemikiran yang diketengahkan terlalu sedikit sehingga meninggalkan ruang yang terlalu luas untuk diterokai oleh pengarang-pengarang lain. 
Ternyata antologi Miri, Kota Inspirasi terbitan Majlis Bandaraya Miri ini bukan sahaja telah berjaya mengumpulkan khazanah tentang masyarakat, budaya, tempat dan geososial di Miri yang kaya dengan nilai pemikiran yang tersendiri, malahan turut berjaya menghimpunkan para penulis di Bumi Kenyalang, sama ada penulis yang tersohor dengan karya-karya besar di peringkat nasional dan juga penulis-penulis baharu yang menjanjikan. Sajak-sajak dalam antologi ini menjadi bukti wujudnya peneguhan prinsip dan kesinambungan bakat penulis di Sarawak dalam penghasilan puisi.

 
 
Advertisement